EKONOMI

UNIT PETRONAS METERAI PERJANJIAN SEWA TANAH BAGI HAB CCS PAHANG

25/07/2024 12:13 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas CCS Solutions Sdn Bhd (PCCSS) menandatangani perjanjian sewa tanah dengan Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (Kuantan Port) untuk memajukan rancangan hab pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di Pahang.

Menurut kenyataan pada Rabu, Petronas menjelaskan hab tersebut dijangka mendapat suntikan pertama pada 2029.

Hab itu juga berperanan penting untuk mengurangkan pelepasan karbon bagi industri yang sukar merendahkan pelepasan karbon di peringkat tempatan dan antarabangsa, tambah Petronas.

Ketua Pegawai Eksekutif PCCSS Nora’in Md Salleh berkata pewujudan hab CCS itu tepat pada masanya untuk menyediakan penyelesaian penyahkarbonan kepada industri seperti keluli, kimia, simen, penjanaan kuasa dan petrokimia di Pahang.

“Hab dengan kapasiti penyimpanan yang amat besar itu juga berfungsi untuk menghubungkan semua kawasan perindustrian di barat Semenanjung Malaysia serta Asia Pasifik yang memulakan usaha penyahkarbonan.

“Akhirnya, projek ini membuktikan komitmen kukuh kami kepada Malaysia dalam melaksanakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya dalam kenyataan yang sama.

Menurut Petronas langkah strategik itu membolehkan pemindahan pengetahuan antara syarikat dan Kuantan Port yang mempunyai rekod prestasi kukuh dalam mengendalikan pelbagai jenis kargo, merangsang pertumbuhan perdagangan serantau, serta melakukan penyelesaian logistik moden.

Syarikat minyak negara itu akan terus membentuk kerjasama strategik sebagai sebahagian daripada usahanya dalam membina portfolio berdaya tahan dan mampan di samping mempercepat komitmen Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) 2050.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan