AM

KKK 2024 KETENGAHKAN LAPAN RESOLUSI AGENDA UTAMA KERAJAAN - ANGKASA

26/07/2024 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Kongres Koperasi Kebangsaan (KKK) 2024 bukan sahaja menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah gerakan koperasi negara tetapi juga boleh diangkat sebagai agenda utama sempena setahun Ekonomi MADANI yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai 2023.

Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata lapan resolusi yang disediakan adalah hasil daripada 27 Sesi Libat Urus (SLU) dimulakan dari Februari hingga Jun 2024 dengan penglibatan lebih 6,000 orang daripada pelbagai latar belakang.

“Resolusi yang dibentangkan ini perlu menjadi agenda utama oleh pihak kerajaan dalam memartabatkan sektor koperasi negara. Gerakan koperasi merupakan wacana kejayaan ekonomi rakyat sepanjang penubuhannya sejak 1922.

“Sehingga kini, sebanyak 15,809 koperasi didaftarkan dengan keanggotaan 7.2 juta orang manakala sehingga 31 Dis 2023, sektor koperasi telah menjana perolehan sebanyak RM64.6 bilion daripada jumlah syer sebanyak RM17.4 bilion dan jumlah aset bernilai RM165.9 bilion.

“Koperasi berupaya menjadi pemangkin terhadap kejayaan Ekonomi MADANI,” katanya ketika membentangkan resolusi berkenaan pada majlis penutup KKK 2024 di sini hari ini.

 Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick dan timbalannya Datuk R. Ramanan serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Berikut resolusi yang dibentangkan pada KKK 2024 :

  1. Sektor koperasi hendaklah diiktiraf sebagai sektor utama penyumbang kepada ekonomi negara yang menjadi pemangkin kepada kerangka Ekonomi MADANI.
  2. Meminda undang-undang dan peraturan bagi mengiktiraf koperasi sebagai entiti perniagaan.
  3. Mengiktiraf kurikulum koperasi dalam sistem pendidikan negara ke arah memasyarakatkan koperasi.
  4. Menyediakan peruntukan yang mencukupi kepada gerakan koperasi sepertimana dinikmati oleh Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS). 
  5. Memperkukuh mandat dan peranan agensi utama koperasi iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai badan kawal selia, ANGKASA sebagai badan pembangunan perniagaan serta Institut Koperasi Malaysia (IKMa) sebagai badan latihan dan pendidikan.
  6. Mengembalikan pengurusan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi kepada ANGKASA sebagaimana yang termeterai dalam Aspirasi Koperasi Malaysia.
  7. Kumpulan wang anggota yang dikecualikan cukai dinaikkan daripada RM750,000 kepada RM1.5 juta untuk meningkatkan daya saing koperasi.
  8. Menubuhkan jawatankuasa Kabinet untuk pembangunan koperasi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan diurussetiakan bersama oleh KUSKOP dan ANGKASA.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan