EKONOMI

KERAJAAN KOMITED TERUS USAHA TANGANI KOS SARA HIDUP RAKYAT - ANWAR

26/07/2024 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Kerajaan komited untuk terus berusaha menangani kos sara hidup dalam meringankan beban rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata menerusi pelbagai langkah yang dilaksanakan, kadar inflasi berjaya dikawal pada dua peratus manakala kadar pengangguran stabil pada paras 3.3 peratus.

Malah, sejak kebelakangan ini nilai ringgit juga semakin mengukuh dan pada masa sama pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku kedua tahun ini diunjurkan berkembang pada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.8 peratus, kata beliau.

“Tetapi jika ditanya adakah saya puas hati? Saya tidak puas hati kerana kita masih hadapi masalah kos sara hidup di sesetengah tempat yang menekan kehidupan,” kata beliau semasa berucap menutup Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di sini, pada Jumaat.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Timbalannya Datuk R. Ramanan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Anwar berkata kerajaan sentiasa berusaha mencari penyelesaian terhadap isu kos sara hidup antaranya melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada sembilan juta orang dengan jumlah keseluruhan RM10 bilion.

Beliau berkata langkah kerajaan mengkaji semula Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) untuk menaikkan gaji penjawat awam juga merupakan antara usaha bagi meringankan beban kos sara hidup.

“Bulan Oktober nanti kita akan muktamadkan sistem saraan baharu dengan menaikkan gaji penjawat awam dan harapan kita mereka akan melakukan tugasan dengan lebih cekap.

“Kawalan dan pengawasan juga lebih keras, kerana kenaikan itu bukan kecil. Ia merupakan kenaikan paling tinggi dalam sejarah, lebih 15 peratus,” kata beliau.

Anwar turut berharap agar seluruh rakyat bekerja sebagai satu pasukan mengangkat martabat negara dan mahu gerakan koperasi menjadi tonggak pertumbuhan ekonomi negara.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan