AM

SULTAN IBRAHIM AMAT PRIHATIN DENGAN MASA DEPAN KOMUNITI INDIA - RAMANAN

28/07/2024 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim amat prihatin dengan masa depan serta permasalahan komuniti India di Malaysia, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan.

Beliau berkata Seri Paduka Baginda juga amat memahami, mendalami dan setiasa mengikuti perkembangan semasa mengenai isu-isu berkaitan komuniti India di negara ini.

"Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim sentiasa 'turun padang' untuk menghadiri program-program berkaitan komuniti India. Seri Paduka Baginda juga mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa demi memastikan masa depan komuniti India terjamin. Daulat Tuanku.

"Ketika saya menjadi Pengerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) pada 2023, saya diberi perkenan untuk menghadap Seri Paduka Baginda. Pada sesi menghadap itu yang berlangsung hampir dua jam, Seri Paduka Baginda turut berkongsi pengalaman membabitkan pelbagai isu mengenai kaum India khususnya berhubung kuil, pendidikan dan ekonomi,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ramanan berkata Seri Paduka Baginda juga berkenan menasihati beliau agar menjadikan MITRA sebagai agensi yang dapat memperkasakan komuniti India melalui pendekatan yang seiring perkembangan semasa.

Untuk rekod, Ramanan adalah pemimpin MITRA pertama diberi perkenan menghadap Seri Paduka Baginda sejak agensi itu ditubuhkan.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu juga berkata Yayasan Sultanah Rogayah, yang ditubuhkan oleh Seri Paduka Baginda khusus untuk Komuniti India di Johor, memainkan peranan penting bagi menaik taraf kehidupan mereka selain berusaha menoktahkan kemiskinan.

Justeru, Ramanan berkata beliau yakin di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim, Seri Paduka Baginda akan memacu kecemerlangan dan kestabilan negara dan meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat berbilang kaum termasuk masyarakat India di Malaysia.

"Masyarakat India juga menaruh  kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan