JENAYAH & MAHKAMAH

32 GERAI PENJAJA DI BATU FERRINGHI MUSNAH DALAM KEBAKARAN

28/07/2024 08:28 PM

GEORGE TOWN, 28 Julai (Bernama) -- Sebanyak 32 gerai penjaja di Kompleks Huma House di Jalan Batu Ferringhi, dekat sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata bagaimanapun, kebakaran pada 1.58 tengah hari itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.

"Sebaik menerima panggilan kecemasan, jentera Balai Bomba Penyelamat Bagan Jermal dan Teluk Bahang terus ke lokasi kejadian dan mendapati kebakaran melibatkan 32 gerai penjaja berkeluasan kira-kira 9.29 meter persegi setiap unit (100 kaki persegi).

"Kebakaran turut memusnahkan barang jualan serta beberapa kenderaan termasuk motosikal," katanya dalam kenyataan.

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 5.55 petang manakala punca serta jumlah kerugian sedang disiasat.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan