JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS MOHON SAMBUNG REMAN SUSPEK KES CULIK ALBERTINE LEO

29/07/2024 09:06 AM

JOHOR BAHRU, 29 Julai (Bernama) -- Polis akan memohon sambungan reman terhadap suspek lelaki berusia 31 tahun yang disyaki menculik Albertine Leo Jia Hui, 6, di pusat beli-belah di Iskandar Puteri, yang tamat reman hari ini.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata sambungan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap suspek lelaki tempatan yang ditangkap bersama mangsa di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor.

“Sambungan reman dimohon selama tujuh hari mulai esok hingga 5 Ogos ini, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap lelaki tempatan yang ditangkap berhubung kejadian culik kanak-kanak berkenaan di kawasan Eco Galleria pada 20 Julai lepas.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi yang boleh menganggu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh disalurkan ke talian Polis Johor 019-2792095 atau Bilik Gerakan 07-2212999

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan sebelum ini dilaporkan meminta bantuan orang ramai untuk mengesan kanak-kanak berkenaan yang disedari hilang oleh bapanya pada 8.30 malam, 20 Julai, di sebuah pusat beli-belah.

Susulan kehilangan kanak-kanak itu, polis menahan empat suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berumur 28 hingga 55 tahun sebelum keempat-empat mereka dibebaskan dengan jaminan polis, Jumaat lepas.

Kanak-kanak itu ditemukan selamat di sebuah hotel murah di Batang Kali pada 4.45 pagi, 23 Julai lepas dan polis turut menahan seorang lelaki yang dijumpai bersama mangsa.

Pada 25 Julai, dilaporkan keluarga kanak-kanak itu tidak mempunyai sebarang hubungan dengan kelima-lima suspek yang ditahan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan