AM

VIA FERRATA DI GUA MUSANG UJI ADRENALIN PEMINAT SUKAN LASAK

29/07/2024 03:57 PM

Oleh Siti Maisarah Ahmad

GUA MUSANG, 29 Julai (Bernama) -- Mendaki trek di lereng gua batu kapur atau via ferrata  sebelum “terbang” sejauh 130 meter menerusi aktiviti flying fox menjanjikan kepuasan kepada peminat sukan lasak yang dambakan lonjakan adrenalin.

Kombinasi dua aktiviti itu ditawarkan oleh Muse Ecopark di sini dan merupakan tarikan baharu bagi mereka yang berani dan sukakan cabaran. 

Penyelaras Muse Ecopark Mohd Ruzuke Abdul Aziz berkata  terletak di tengah-tengah laluan Gua Musang-Kuala Krai, taman rekreasi itu mudah diakses oleh pengunjung, baik dari seluruh Semenanjung.

 “Sejak dibuka, taman ini menjadi tumpuan pelancong domestik dan luar negara kerana keunikan yang diketengahkan, iaitu gabungan aktiviti via ferrata dan flying fox, kerana di tempat lain aktiviti terbabit dilakukan secara berasingan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ruzuke berkata untuk ke pelantar flying fox, pengunjung perlu mendaki dinding gua menggunakan lebih 100  batang besi yang menjadi laluan mereka. 

Menurutnya, pelantar flying fox itu antara yang tertinggi di Kelantan. 

“Pendaki kemudiannya akan meneruskan aktiviti dengan melakukan flying fox pada ketinggian 40 meter sebelum mendarat di dataran Muse Ecopark,” katanya. 

Muse Ecopark terletak berhampiran Masjid Buluh, Gua Musang dan merupakan antara destinasi pelancongan baharu di Kelantan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan