AM

LANGKAH WAJIBKAN PENGENDALI MEDIA SOSIAL MOHON LESEN TEPAT PADA MASANYA - PAKAR

29/07/2024 10:34 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mewajibkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dibuat tepat pada masanya.

Penganalisis keselamatan dan politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata langkah itu mampu memberikan timbal balik (keseimbangan) dalam pelaksanaan ekosistem penggunaan media sosial khususnya berkaitan kes atau isu membabitkan jenayah sivil dan jenayah siber.

“Ia juga penting bagi memastikan (pengawalan terhadap) elemen-elemen akan datang seperti kecerdasan buatan (AI) dan lebih membimbangkan ialah kesan AI generatif yang mempunyai satu perkara yang boleh mengeluarkan apa-apa bentuk maklumat atau kandungan yang berupaya mengelirukan mereka yang menggunakannya untuk tujuan tidak baik,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata langkah itu perlu disokong oleh semua pihak namun penambahbaikan perlu dilakukan dari semasa ke semasa selain mewujudkan jawatankuasa yang terdiri daripada pakar media sosial, perang saraf dan generasi muda.

“(Ini supaya) kita dapat mewujudkan kerangka yang lebih jelas serta terkehadapan dalam menghadapi ancaman di samping memastikan supaya tidak ada penindasan terhadap hak asasi di dalam negara ini berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Ia juga penting bagi membentuk satu identiti negara di dalam media sosial supaya pemikiran semua pengguna media sosial memegang Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta menggunakan satu bentuk tatakelola media sosial yang lebih jelas berdasarkan prinsip identiti negara yang sebenar,” katanya.

MCMC telah memaklumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588.

Langkah itu akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2025 susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenal bermula 1 Ogos.

Dalam pada itu, pakar keselamatan siber dari Universiti Sains Malaysia Profesor Madya M. Selvakumar berkata langkah yang diperkenal oleh MCMC bukan perkara baharu kerana ia turut diamalkan di beberapa negara termasuk di benua Eropah, India dan Singapura.

Beliau berkata justeru itu, tidak timbul isu kononnya langkah ini diambil untuk menyekat kebebasan bersuara di Malaysia.

“Dengan pelaksanaan langkah baharu ini, pengendali platform media sosial juga terpaksa akur dengan keperluan Malaysia dan akan memastikan kandungan mereka dimoralisasikan berdasarkan kepada keperluan kebudayaan kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan