AM

PERATURAN MEDIA SOSIAL BAKAL DIPERKENAL UNTUK WUJUD PERSEKITARAN MAYA SELAMAT - PM

29/07/2024 10:21 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Peraturan media sosial dan perkhidmatan pemesejan Internet yang bakal diperkenal oleh kerajaan adalah bertujuan mengatasi penyebaran jenayah serta maklumat berbahaya sekali gus mewujudkan persekitaran maya yang selamat untuk semua pengguna.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedar mungkin ada beberapa sekatan atau peraturan yang tidak popular namun ia perlu demi kesejahteraan masyarakat.

"Marcapada dan kecanggihan teknologi menuntut mana-mana pihak khususnya warga maya untuk meletakkan ketertiban tinggi tanpa menimbulkan sensitiviti hingga menggugat keamanan dan ketenteraman ketika menggunakan mana-mana platform media sosial yang ada," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Anwar berkata perkara itu disentuh dalam ucapan beliau pada Majlis Kenduri MADANI di Taman Koperasi Perpaduan 2, Tambun, Perak hari ini.

Sebelum pulang, Perdana Menteri berkata beliau sempat menyantuni masyarakat setempat serta melawat Masjid Ar-Rashid yang bakal siap sepenuhnya dan berfungsi tidak lama lagi.

Pada Ahad lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perundangan baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan digital merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan suis pemati akan dibentang di Parlimen Oktober ini.

Beliau berkata undang-undang itu antara lain bakal meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet untuk memainkan peranan bagi menangani jenayah dalam talian seperti penipuan, buli siber, penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta gangguan dan antun seksual.

Sehari sebelum itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memaklumkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Menurut MCMC, langkah itu akan dikuatkuasakan 1 Jan depan selepas satu kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenal pada 1 Ogos ini.

Anwar berkata beliau turut melawat lokasi kebakaran di Kampung Manjoi, Tambun.

“Selain mendengar penerangan pihak bomba, saya juga sempat bertemu mangsa insiden kebakaran dan memberikan sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung akibat musibah ini. Mendoakan mereka terus tabah dan diberikan kesabaran tatkala menghadapi ujian ini,” katanya.

Menerusi hantaran di laman Facebook semalam, Perdana Menteri berkata beliau menyampaikan sumbangan segera sebanyak RM5,000 kepada setiap keluarga yang terlibat dalam kebakaran lapan buah rumah di kampung itu.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun, berkata sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau Muhammad Kamil Abdul Munim.

Menurut beberapa hantaran di laman Facebook, kebakaran yang berlaku sekitar 5.40 petang semalam memusnahkan lapan rumah dengan enam daripadanya berpenghuni. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan