AM

KKM AKAN PADANKAN PAKAR PERUBATAN SEIRING PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR

30/07/2024 10:06 AM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan berusaha untuk memadankan pakar-pakar perubatan seiring dengan pembangunan infrastruktur berdasarkan keperluan setempat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pelaksanaan itu susulan perbincangan menerusi Mesyuarat Tindakan Pembangunan KKM yang dipengerusikan beliau semalam.

“Ada rakan-rakan yang berpesan agar pakar-pakar perubatan yang dilatih nanti dapat dipadankan seiring dengan pembangunan infrastruktur.

“Insya-Allah, saya akan pastikan dua perkara. Pertama pembangunan infrastruktur adalah selari keperluan setempat.

“Saya akui banyak kawasan mengalami kesesakan, fasiliti daif atau kedua-duanya, namun ini sedang ditangani. Bukan hanya di Sabah dan Sarawak, malah di Johor dan Kelantan jua,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook hari ini.

Beliau berkata perkara kedua adalah menangani masalah agihan sumber manusia yang tidak sekata dengan memastikan perancangan dan agihan sumber adalah selari dengan pembangunan infrastruktur serta keperluan di akar umbi.

“Bukan kerja sehari dua, namun dengan doa dan sokongan semua, kita akan laksanakan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan