POLITIK

PRK NENGGIRI : PRESTASI MOHD AZMAWI FIKRI DIPANTAU KEPIMPINAN TERTINGGI UMNO - AHMAD ZAHID

30/07/2024 08:28 PM

GUA MUSANG, 30 Julai (Bernama) -- Kepimpinan tertinggi UMNO akan melakukan pemantauan berterusan terhadap calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, sekiranya beliau menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu, untuk pergi ke setiap kawasan di Nenggiri dan mengenal pasti keperluan rakyat.

“Saya berharap apabila pengundi di Nenggiri nanti memilih Awie (Mohd Azmawi Fikri) sebagai ADUN kita, sebagai wakil rakyat baru kita, saya akan memantau prestasi beliau.

“Selain itu, saya juga telah mengarahkan beliau untuk turun ke bawah setiap pelusuk pergi kampung, setiap kawasan KESEDAR (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan), setiap kawasan Orang Asli, setiap kampung tradisi (dan) kawasan FELDA, untuk sama-sama menekuni keperluan rakyat. Jangan duduk di tempat yang berhawa dingin sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran Pelan Pembangunan, Pusat Pertumbuhan Desa Sungai Asap, KESEDAR, Gua Musang, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid melahirkan keyakinan bahawa Mohd Azmawi Fikri akan bekerja keras untuk menyantuni keperluan rakyat di Nenggiri.

“Sekiranya saya mendapat tahu beliau (Mohd Azmawi Fikri) tidak bekerja dengan kuat, maka sepenggal sahajalah beliau menjadi ADUN dan saya akan pastikan itu,” katanya dan akan memantau kesemua Pusat Daerah Mengundi untuk memastikan Mohd Azmawi itu mencapai kemenangan pada PRK DUN Nenggiri.

Pada 19 Jun Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong, selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK DUN Nenggiri pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos pula ialah hari mengundi.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan