EKONOMI

INISIATIF PEMBINAAN PANTAS MAMPU TARIK PELABURAN DI PAHANG - MPC

30/07/2024 01:30 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Inisiatif pembinaan pantas yang dilancarkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) baru-baru ini, dijangka memberi impak besar terhadap ekonomi Pahang.

Pengarah MPC Pahang Dr Noor Aishah Hassan berkata bengkel yang melibatkan 36 peserta dari agensi teknikal, pemaju dan perunding projek, turut membincangkan inisiatif berkenaan menerusi projek rintis pembinaan kilang tayar dengan nilai pelaburan RM1.33 bilion di Kuantan, Pahang.

Beliau turut menekankan kerjasama strategik antara MBK, agensi teknikal, pemaju dan perunding projek sebagai kunci kejayaan projek berkenaan. 

“Inisiatif ini tidak hanya mempercepat proses pembinaan dengan pematuhan peraturan yang tinggi, tetapi turut meningkatkan daya saing dan produktiviti ekonomi di Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Aishah berkata inisiatif pembinaan pantas itu juga dijangka meningkatkan produktiviti sektor pembinaan dan menarik pelaburan signifikan ke Pahang.

Pembinaan kilang tayar itu juga dijangka menyediakan lebih 700 peluang pekerjaan, majoriti atau 80 peratus daripada jawatan berkenaan disediakan untuk penduduk setempat. 

“(Menerusi) pendekatan pembinaan pantas dan efisien yang diterapkan, diharapkan projek ini dapat menarik pelabur ke Kuantan dan menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan lebih kompetitif,” kata MPC.

Sementara itu, MBK berharap kejayaan projek tersebut akan membuka jalan untuk lebih banyak projek pembinaan yang cekap dan pantas di masa depan dan seterusnya memperkukuh kedudukan Pahang sebagai pusat pelaburan yang produktif serta berdaya saing.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan