PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sarawak dijangka akan memuktamadkan perjanjian jual dan beli (SPA) berhubung penambahan pegangan saham Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam tempoh sebulan.
“Bank Negara Malaysia sudah beri kelulusan bersyarat, justeru SPA berkenaan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh sebulan. Ia adalah proses teknikal, ini adalah peraturan perlu dipatuhi," kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Malaysian Board of Technologists (MBOT) Experts Network in Technology, Innovation and Cooperative Event (ENTICE) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Bernama melaporkan rancangan Sarawak untuk meningkatkan pegangannya dalam Affin Bank Bhd kepada sekitar 30 peratus daripada 4.8 peratus pada masa ini, boleh menjadi ‘kemenangan berganda’ dalam merealisasikan pulangan yang tinggi atau berpatutan daripada pelaburannya dalam bank itu.
Pada 19 Julai lepas, Abang Johari dilaporkan berkata Kerajaan Sarawak dan LTAT akan meneruskan SPA untuk meningkatkan pegangan kerajaan negeri dalam Affin Bank sebaik sahaja kelulusan kawal selia diperoleh.
-- BERNAMA