DUNIA

RESPONS POSITIF DARIPADA PLATFORM MEDIA SOSIAL TERHADAP KERANGKA KAWAL SELIA BAHARU - FAHMI

30/07/2024 11:07 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 30 Julai (Bernama) -- Platform media sosial memberi respons positif terhadap keperluan pelesenan di bawah kerangka kawal selia baharu untuk penggunaan Internet lebih selamat oleh kanak-kanak dan keluarga, yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Menteri itu berkata dalam pertemuannya dengan wakil pelbagai platform semasa lawatan kerja tiga hari di sini, mereka mengakui keperluan untuk mematuhi undang-undang Malaysia dan bersedia untuk turut serta dalam proses berkenaan.

“Pertemuan saya dengan platform media sosial sangat produktif. Mereka mengakui bahawa Malaysia adalah pasaran penting bagi platform masing-masing.

Saya gembira untuk mengatakan bahawa semua platform media sosial ini bersedia untuk turut serta,” katanya kepada Bernama dan Nikkei Asia dalam satu temu bual di akhir lawatan kerjanya, pada Selasa.

Di Singapura, beliau bertemu dengan pegawai daripada pelbagai platform media sosial seperti Meta, Google, TikTok dan Tencent untuk menyampaikan kepada mereka mengenai kerangka kawal selia baharu dan membincangkan keselamatan dalam talian serta potensi kerjasama untuk memerangi aktiviti haram di platform berkenaan.

Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menerbitkan FAQ (soalan kerap tanya) pada 1 Ogos yang akan memberikan butiran lanjut mengenai kerangka dan mekanisme pelesenan itu.

Ia juga akan mengadakan beberapa siri libat urus awam dari 1 Ogos hingga 1 Januari tahun depan untuk mewujudkan kod tingkah laku yang akan dijadikan rujukan bagi pemegang lesen di bawah kerangka itu.

Sebelum ini, Fahmi berkata MCMC telah memulakan libat urus dengan semua platform pada Februari, berkaitan isu yang dihadapi rakyat Malaysia dalam platform mereka.

Pada Sabtu lepas, MCMC berkata ia akan memperkenalkan kerangka kawal selia baharu untuk penggunaan Internet yang selamat oleh kanak-kanak dan keluarga pada 1 Ogos, dengan pelaksanaan dijadualkan pada 1 Januari 2025.

Di bawah kerangka baharu itu, perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia mesti memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Sementara itu, beliau berkata isu ketidakpatuhan juga dibangkitkan semasa pertemuan dengan platform media sosial, dan mereka bersedia untuk bekerjasama dengan kementerian mengenai perkara ini.

“Kami memahami proses perniagaan dan peraturan mereka, garis panduan komuniti atau standard komuniti mereka. Tetapi di pihak pengawal selia dan kerajaan, kami juga berharap mereka akan memahami jenis jangkaan yang kami harapkan daripada mereka. Jadi, kami berharap dapat bertemu jalan tengah dan saya percaya ini boleh dilakukan,” katanya.

Minggu lepas, Fahmi berkata pemantauan MCMC mendapati tahap pematuhan yang berbeza-beza dalam kalangan platform dengan undang-undang Malaysia, ada yang pantas dan patuh, ada yang tidak mematuhi langsung, dan ada yang sangat lambat bertindak balas kepada pihak berkuasa.

Fahmi berkata Instagram, sebagai contoh, mencatat kadar pematuhan sebanyak 88 peratus, diikuti Facebook (85 peratus), WhatsApp (79 peratus), TikTok (76 peratus), Telegram (65 peratus) dan X dengan kadar pematuhan terendah pada 25 peratus.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan