EKONOMI

AIRTRUNK BUKA PUSAT DATA SEDIA AI DI JOHOR BHARU

30/07/2024 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Pakar pusat data hiperskala Asia Pasifik dan Jepun (APJ), AirTrunk telah memulakan operasi di Malaysia dengan pembukaan rasmi pusat data hiperskala utamanya, AirTrunk JHB1 (JHB1) di Johor Bahru.

Dalam kenyataan hari ini, AirTrunk berkata pembangunan pusat data JHB1 dengan kapasiti 150 megawatt (MW), yang berkeluasan lebih 10.3 hektar, telah disiapkan dalam masa lebih empat juta jam pekerjaan tanpa sebarang insiden keselamatan yang besar, memperkukuh komitmen AirTrunk untuk mengekalkan tahap keselamatan tertinggi di tapak pembinaannya. 

Katanya fasa permulaan JHB1 akan menyediakan kapasiti lebih 50MW untuk pelanggan syarikat teknologi terkemuka. 

“Menyediakan zon ketersediaan awan utama, pusat data ini menawarkan sambungan domestik dan antarabangsa yang padu kepada hab teknologi serantau termasuk negara jiran Singapura dengan strategi sambungan rentas sempadan yang menyeluruh,” katanya. 

Menurut AirTrunk, seiring dengan reka bentuk kuasa rendah industri Keberkesanan Penggunaan Kuasa (PUE) sebanyak 1.15, menjadikannya antara pusat data paling efektif di negara ini.

“Kemudahan tercanggih baharu ini menampilkan reka bentuk sedia AI di samping menerajui teknologi penyejukan cecair terus ke cip dengan gabungan penyejukan penyejatan tidak langsung (IEC) tradisional dan rak berketumpatan tinggi.

“Pendekatan perintis ini mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 23 peratus,” katanya.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AirTrunk Robin Khuda berkata penghantaran yang cepat dan selamat daripada JHB1 menjadi langkah penting dalam mengguna pakai AI di Malaysia dan pertumbuhan AirTrunk sebagai rakan kongsi yang dipercayai untuk pelanggannya di rantau APJ.

“Dengan komitmen terhadap inovasi dan pertumbuhan mampan, digabungkan pula dengan program pelaburan dalam ketersediaan tenaga dan elektrik boleh diperbaharui, Malaysia pantas menjadi hab teknologi utama di rantau Asia Pasifik dan Jepun.

“Melalui pelaburan jangka panjang kami di Malaysia, kami dapat menyokong pelanggan kami apabila mereka berkembang dengan pesat dan melaksanakan penyelesaian perintis seperti penyejukan cecair berskala besar untuk memangkinkan pembangunan awan dan AI yang mampan,” katanya.

Ketua AirTrunk Malaysia Pei Jet Lim berkata syarikat menyumbang secara positif kepada ekonomi tempatan dengan memberi sokongan dan membangunkan bakat tempatan serta menyediakan infrastruktur digital yang penting. 

Beliau berkata pusat data baharu ini menyokong pertumbuhan rancak awan dan AI selain sejajar dengan inisiatif Kerajaan MADANI untuk membangunkan hab AI di negara ini.

“Kami memberikan komitmen jangka panjang untuk terus melibatkan diri dengan komuniti tempatan dalam membina ekosistem AI penuh di Malaysia. 

“Permintaan jangka panjang dan boleh dijangka daripada JHB1 juga menyediakan kestabilan bagi menyokong pelaburan dalam grid tenaga dan memulakan pelbagai pembangunan tenaga hijau,” katanya.

JHB1 adalah sebahagian daripada platform pusat data APJ terkemuka AirTrunk yang terdiri daripada 11 pusat yang menawarkan lebih 1.4 gigawatt (GW) jumlah kapasiti untuk menyokong peningkatan permintaan daripada syarikat teknologi terkemuka global di rantau ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan