AM

OKU BERSEMANGAT SEMARAK SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN

31/07/2024 12:57 AM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Golongan orang kurang upaya (OKU) tidak pernah ketinggalan untuk turut menyemarakkan semangat patriotisme setiap kali diadakan sambutan Bulan Kebangsaan. 

Pengerusi dan Ketua Eksekutif Yayasan Orang Buta Malaysia (MFB) Silatur Rahim Dahman berkata saban tahun golongan OKU termasuk mereka yang cacat penglihatan akan meraikan Hari Kebangsaan dengan penuh semangat patriotik dan nasionalisme yang tinggi dengan cara mereka.

“OKU sama ada penglihatan mahupun kategori lain sebenarnya tidak ketinggalan dalam sama-sama merasai semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan. 

“Contohnya, mereka akan menyanyi lagu-lagu berorientasikan kemerdekaan untuk mereka menyemarakkan semangat tersebut,” katanya ketika menjadi tetamu pada rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV hari ini.

Untuk sambutan pada tahun ini, Silatur Rahim berkata pihak MFB akan memberi peluang kepada OKU penglihatan memasang sendiri Jalur Gemilang di bangunan yayasan selain turut dibekalkan dengan bendera kebanggaan negara itu untuk dikibarkan di rumah masing-masing.

“Selain itu, kita buat pertandingan lagu patriotik di malam kemerdekaan seperti pertandingan bakat seni suara. Jadi, mereka (OKU penglihatan) dapat mengikuti program kemerdekaan di peringkat mereka kerana kalau dibawa di tempat-tempat awam agak mencabar dan berisiko,” katanya.

Dalam pada itu, Silatur Rahim turut mencadangkan kepada penganjur sambutan Hari Kebangsaan untuk turut melibatkan golongan OKU dalam perarakan pada tahun ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pendidikan Khas Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Mohd Norazmi Nordin berkata golongan OKU telah diberikan pendedahan mengenai semangat patriotisme sejak di bangku sekolah dan kerjasama yang diterima setiap kali sambutan Hari Kebangsaan sangat membanggakan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan wujud sedikit kesukaran buat golongan itu untuk mengekspresikan semangat cintakan negara pada sambutan Hari Kebangsaan berikutan pelbagai halangan khususnya dari segi pergerakan bagi OKU penglihatan. 

“Pergerakan menjadi cabaran kepada OKU penglihatan menyebabkan kadang-kadang terpaksa buat aktiviti di satu tempat sahaja,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan