AM

JPNIN MELAKA SASAR 10,000 PENGUNJUNG SEMPENA PROGRAM MALAYSIAKU MERDEKA

30/07/2024 09:42 PM

MELAKA, 30 Julai (Bernama) -- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka  menyasarkan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung ke program Malaysiaku Merdeka yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada 16 hingga 18 Ogos ini.

Pengarahnya Intan Suhana Yusuff berkata JPNIN bertindak sebagai agensi pelaksana yang dilantik kerajaan negeri bagi menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

"Pelbagai pengisian menarik bertemakan merdeka dirancang pada program itu selain melibatkan semua jentera perpaduan iaitu Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Skim Rondaan Sukarela (SRS), Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan.

"Antaranya ialah pameran Produk Projek Ekonomi KRT, Kenali Budaya Kita, program jualan, sukan rakyat dan malam kebudayaan," katanya kepada Bernama selepas menyempurnakan majlis Program Komuniti Sejahtera dan Semarak Jalur Gemilang bersama Komuniti serta Media di sini hari ini.

Intan Suhana berkata JPNIN turut berkolaborasi dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka bagi pertandingan Bakat Merdeka yang melibatkan pelajar sekolah rendah dan ahli KRT.

Beliau berkata antara keunikan pada program itu ialah pameran Rumah KAMI yang melibatkan sepuluh etnik di negara ini dengan menonjolkan budaya masing-masing seperti pakaian serta makanan selain mengetengahkan produk KRT dari Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Pelbagai aktiviti juga akan diadakan setiap bulan bersama masyarakat menerusi penglibatan KRT dalam program Komuniti Sejahtera di bawah inisiatif Komuniti Perpaduan MADANI,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan