AM

20,000 POKOK BAKAU DITANAM DI TAWAU HASIL KERJASAMA STRATEGIK

30/07/2024 10:28 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kerjasama strategik antara Yayasan Hijau Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah dan Wiwynn Technology Service Malaysia Sdn Bhd menyaksikan 20,000 pokok bakau ditanam di Sabah hari ini.

Yayasan Hijau Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata inisiatif sempena sambutan Hari Pemuliharaan Ekosistem Hutan Bakau Antarabangsa di Sungai Mangkalitan di Hutan Simpan Tawau, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam konservasi hutan bakau di Malaysia.

Menurut kenyataan itu, inisiatif menanam pokok secara besar-besaran itu merupakan sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, menonjolkan impak hebat hasil kerjasama awam-swasta dalam pemuliharaan alam sekitar.

"Usaha ini mengetengahkan komitmen berterusan Malaysia untuk melindungi ekosistem pantai, menyokong biodiversiti dan mengurangkan kesan perubahan iklim menerusi pengasingan karbon.

"Diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kempen 100 Juta Penanaman Pokok merupakan bukti keazaman negara untuk mencapai matlamat kelestarian global dan memupuk masa depan yang lebih mesra alam dan sihat untuk semua," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan sama berkata kementerian mengalu-alukan semua program yang selari dengan matlamat kempen tersebut.

Beliau berkata kempen itu menggalakkan penyertaan dan penglibatan semua pihak termasuk sektor swasta dan badan korporat, menerusi sumbangan kewangan, penajaan dan aktiviti penanaman.

"Sejak 2005, kerajaan telah mengambil langkah signifikan untuk memulihara dan memelihara kawasan paya bakau menerusi Program Menaman Pokok dengan Bakau dan Spesies Yang Sesuai di sepanjang Pesisir Pantai Negara. Inisiatif ini dilaksanakan susulan tragedi tsunami pada 26 Dis, 2004.

"Pada 2023, seluas 3,456.74 hektar kawasan pesisir pantai di seluruh negara telah dipulihkan dengan penanaman pokok bakau dan spesies hutan pesisir yang terpilih. Sebanyak 7,938,531 pokok telah ditanam, menyumbang kepada pemeliharaan dan peningkatan ekosistem yang berharga ini," katanya.

Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, yang berlangsung dari 2021 hingga 2025, dengan tema "Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita" adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menambah liputan hutan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup, selain memperbaiki ekosistem dan biodiversiti negara.

Setakat Julai, 91.16 juta pokok telah ditanam di seluruh negara, merangkumi 1,849 spesies dan sekitar 100 juta pokok dijangka akan ditanam di seluruh Malaysia menjelang akhir 2025.

Perkembangan kempen itu boleh dipantau menerusi aplikasi mudah alih "Penghijauan Malaysia" dan laman web www.100jutapokok.gov.my.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan