AM

RAPID BUS PERKENAL PERKHIDMATAN DRT PERTAMA DI PULAU PINANG

31/07/2024 03:24 PM

GEORGE TOWN, 31 Julai (Bernama) -- Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), pengendali perkhidmatan bas Rapid Penang memperkenalkan perkhidmatan percubaan Demand Responsive Transit (DRT) Rapid Penang yang pertama di Pulau Pinang bermula esok sehingga 31 Okt 2024.

Rapid Bus dalam kenyataan memaklumkan perkhidmatan DRT di Farlim dan Air Itam itu akan melalui fasa pembuktian konsep (POC) melibatkan kerjasama dengan aplikasi tempahan perkhidmatan e-hailing Kumpool untuk manfaat pengguna yang sebelum ini sukar mendapat akses kepada perkhidmatan bas kerana jalan sempit terutamanya di kawasan-kawasan perumahan.

"Perkhidmatan yang meliputi radius dua kilometer ini juga menghubungkan penumpang ke beberapa tempat tumpuan seperti Pekan Air Itam, Kek Lok Si, Sunshine Central, Klinik Kesihatan Bandar Baru Air Itam dan Pekan Farlim.

"Perkhidmatan DRT ini menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6 pagi sehingga 11 malam dengan tambang pengenalan RM1 untuk setiap perjalanan dan penumpang boleh membayar secara tunai atau menggunakan Pas Mutiara My50 serta Pas Perjalanan OKU Smile," kata kenyataan itu hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij berkata perkhidmatan DRT itu merupakan mod pengangkutan fleksibel mengikut permintaan penumpang yang menyediakan kesalinghubungan dari destinasi pertama ke akhir bersama perkhidmatan laluan bas sedia ada dengan purata kekerapan 10 minit untuk perjalanan penumpang lebih lancar ke George Town.

"Kami sentiasa berusaha untuk menyediakan perkhidmatan yang berkaitan kepada para penumpang. Kami akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Pulau Pinang," katanya.

Perkhidmatan DRT boleh ditempah melalui aplikasi Kumpool yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Play Store serta orang awam boleh melayari media sosial rasmi Rapid Penang atau laman web: www.myrapid.com.my untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan