AM

JEMAAH MENTERI KECAM PEMBUNUHAN HANIYEH, GESA SIASATAN SEGERA BAWA PEMBUNUH KE MUKA PENGADILAN

31/07/2024 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Jemaah Menteri mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran hari ini, kata Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil. 

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata Jemaah Menteri turut menzahirkan solidariti bersama dengan rakyat Palestin dan menggesa siasatan segera dilakukan agar pihak yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu dibawa ke muka pengadilan.

“Jemaah Menteri turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mantan Perdana Menteri Palestin itu.

“Kerajaan Malaysia akan terus lantang menyuarakan sokongan serta bekerjasama dengan negara-negara lain dalam usaha mendesak pembebasan rakyat Palestin daripada sebarang bentuk kezaliman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini 

Kumpulan Hamas terdahulu mengumumkan Haniyeh terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di Tehran, menurut laporan Agensi Anadolu (AA).

Televisyen Iran yang turut membuat liputan mengenai kematian Haniyeh, melaporkan bahawa siasatan mengenai pembunuhan itu sedang dijalankan dan keputusan akan diumumkan tidak lama lagi, namun tiada pengumuman segera dibuat oleh Israel mengenai insiden itu.

Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu Masoud Pezeshkian, Selasa.

Susulan itu Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) Hussein al-Sheikh, dan Setiausaha Agung Parti Gerakan Inisiatif Nasional Palestin (PNI) Mustafa Barghouti dengan nada sama mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan itu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan