AM

CADANGAN MESYUARAT LEMBAGA PENGARAH KHSB DI AUSTRALIA BELUM DAPAT KELULUSAN

01/08/2024 08:58 AM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Lembaga Pengarah Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) yang dicadangkan diadakan di Perth, Australia dari 23 hingga 27 Ogos ini hanyalah salah satu cadangan dalaman yang masih belum mendapat sebarang kelulusan Lembaga Pengarah KHSB.

Menegaskan perkara itu, KHSB dalam kenyataan hari ini memaklumkan dakwaan yang terkandung dalam artikel yang tular di portal MalaysiaNow pada 29 Julai lepas kononnya mesyuarat Lembaga Pengarah KHSB akan diadakan di luar negara tidak memberikan gambaran tepat kepada orang awam dan seolah-olah berniat untuk menyebarkan fitnah.

“Sebarang laporan yang ingin memberikan gambaran bahawa KHSB hanya ingin berkunjung ke luar negara semata-mata untuk mengadakan mesyuarat Lembaga Pengarah adalah jelas suatu fitnah yang berniat jahat serta bertentangan dengan logik,” menurut kenyataan itu.

KHSB berkata sekiranya dilaksanakan, ia merupakan sebahagian daripada delegasi teknikal bagi tujuan hakiki syarikat iaitu dalam pembangunan perumahan dan hartanah termasuk inovasi terkini yang sedang berkembang pesat dalam industri pembangunan hartanah.

“KHSB sebagai sebuah anak syarikat kerajaan negeri Selangor sentiasa kekal profesional dan komited dengan prinsip ketelusan dan integriti selain menyokong amalan tadbir urus korporat tahap terbaik dalam segenap lapisan operasi syarikat,” kata syarikat itu.

KHSB, pada masa sama berharap organisasi media kekal profesional dan beretika dengan membudayakan semakan silang sebelum menerbitkan berita.

Syarikat itu berkata keperluan berlaku adil kepada masyarakat dan para pembaca selaku pemegang taruh utama juga penting, sesuai dengan peranan media sebagai fourth estate dalam institusi mana-mana negara bertamadun.

Difahamkan beberapa portal melaporkan dua syarikat milik kerajaan negeri Selangor akan mengadakan mesyuarat Lembaga Pengarah mereka di Australia bulan depan.

Selain itu, delegasi itu dikatakan akan membuat lawatan tapak sebagai sebahagian daripada "lawatan teknikal" di salah satu kawasan di negara itu. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan