DUNIA

OLIMPIK PARIS: CHALMERS TIDAK AKAN BERSARA DALAM MASA TERDEKAT

01/08/2024 06:42 PM

SYDNEY, 1 Ogos (Bernama-dpa) -- Perenang terkemuka Australia, Kyle Chalmers pada Rabu menafikan khabar angin bahawa beliau akan bersara selepas meraih pingat perak dalam acara 100 meter gaya bebas di Paris, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Chalmers mencatat masa 47.40 saat untuk meraih pingat perak di belakang perenang China, Pan Zhanle yang mencipta rekod dunia dengan catatan masa 46.40 saat.

Sementara itu, David Popovici dari Romania memenangi pingat gangsa, iaitu pingat keduanya di Paris selepas merangkul emas dalam acara 200m gaya bebas.

"Ini bukan acara individu terakhir saya. Saya tidak akan bersara dalam masa terdekat. Saya menyukainya, saya rasa saya akan teruskan selagi boleh," katanya menjawab persoalan yang diajukan seorang wartawan Australia.

Tahun lalu, Chalmers menjadi tajuk utama selepas membuat kenyataan di stesen radio SEN 1170 Breakfast bahawa Sukan Paris mungkin menjadi Sukan Olimpik terakhirnya, walaupun beliau kemudiannya menegaskan beliau belum ingin bersara.

"Mungkin ia akan menjadi Sukan Olimpik terakhir untuk saya.

"Saya akan berusia 26 tahun tahun depan, bahkan tahun ini di bilik menunggu, saya adalah yang tertua dalam perlumbaan... terdapat perenang yang lahir pada 2003 atau 2004,... saya pasti saya merupakan atlet paling tua.

"Paris akan menjadi Sukan Olimpik ketiga saya dan kemungkinan besar yang terakhir. 2028 masih jauh, tetapi siapa tahu jika tubuh dan minda kekal kuat mungkin saya akan berada di Brisbane pada 2032," katanya.

Pada usia hanya 18 tahun, Chalmers memenangi emas dalam acara 100m gaya bebas lelaki di Sukan Olimpik Rio, diikuti perak di Tokyo pada 2021.

Di Paris, Chalmers juga memenangi perak dalam acara 4x100 gaya bebas pada Sabtu.

-- BERNAMA-dpa

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan