DUNIA

SINGAPURA SERU KENDURKAN KETEGANGAN DI TIMUR TENGAH

01/08/2024 09:03 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 1 Ogos (Bernama) -- Singapura menyeru semua pihak di Timur Tengah untuk mengambil langkah mengendurkan ketegangan bagi mengelakkan peningkatan konflik yang lebih meluas di rantau itu.

Jurucakap Kementerian Luar (MFA) berkata Singapura amat prihatin terhadap perkembangan terkini di Timur Tengah, termasuk pembunuhan pemimpin politik Hamas Ismail Haniyeh yang terlibat dalam rundingan untuk gencatan senjata di Gaza.

"Ini menjejaskan usaha untuk mendapatkan perjanjian gencatan senjata yang akan membolehkan pembebasan semua tebusan dan memudahkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk awam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut laporan, Haniyeh yang berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu Iran, terbunuh dalam serangan udara yang menyasarkan penginapannya pada Rabu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan