EKONOMI

CIMB INVESTMENT JANGKA RINGGIT CECAH DI BAWAH 4.30 BERBANDING DOLAR AS

05/08/2024 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Ringgit mungkin mencecah di bawah sasaran nilai saksama pada 4.30 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dipacu oleh peningkatan semula eksport dan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia, menurut CIMB Investment Bank Bhd.

Menerusi nota penyelidikan pada Isnin, bank pelaburan itu mengekalkan pilihan utamanya bagi pasaran pesat membangun (ringgit) dan pasaran maju (yen Jepun) berdasarkan jangkaan pengurangan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed) yang lebih awal pada 2024 hingga 2025.

“Ringgit dan yen telah meningkat ketara berbanding dolar AS, seperti yang dijangkakan apabila kami menaikkan kedua-duanya sebagai pilihan pertukaran asing (FX) utama. Ada potensi untuk pengukuhannya lagi dalam jangka masa terdekat,” tambah bank pelaburan itu.

CIMB Investment menjelaskan gabungan pengurangan kadar faedah AS, eksport positif dan prospek FDI, penjualan pegangan dolar AS jangka masa panjang serta pendedahan bon/ekuiti bukan pemastautin yang normal menyokong pandangan bahawa dolar AS berpotensi melebihi nilai saksamanya pada 4.30 berbanding ringgit.

“Kami berubah positif terhadap ringgit pada Mac dan percaya kenaikan boleh berterusan dalam tempoh terdekat apabila aliran masuk pertukaran mata wang asing bersih meningkat,” tambahnya.

Menurut CIMB Investment, peningkatan semula eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) dan lebihan perdagangan boleh menambah hasil mata wang asing bersih (FCY) US$2 bilion sebulan sehingga akhir 2024.

“Menyederhanakan pilihan USD/FCY, susulan penyempitan perbezaan hasil AS-Malaysia dan galakan diselaraskan bagi aliran dua hala yang fleksibel untuk pengeksport dan pelabur pemastautin, seharusnya mendorong kepada kenaikan ringgit,” menurutnya.

Pada 5 petang, ringgit diniagakan tinggi pada 4.4250/4.4280 berbanding dolar AS daripada 4.4945/4995 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan