DUNIA

PM BANGLADESH LETAK JAWATAN, KETUA TENTERA UMUM KERAJAAN SEMENTARA

05/08/2024 08:22 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 5 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina meletak jawatan pada Isnin selepas protes berdarah terhadap pemerintahannya.

Ketua Turus Tentera Darat Jeneral Waker-Uz-Zaman dalam ucapan kepada negara berkata kerajaan sementara akan dibentuk.

Ketua tentera merayu agar bertenang dan menghentikan protes besar-besaran yang dipimpin oleh pelajar.

Beliau berkata orang ramai harus mempunyai kepercayaan kepada tentera untuk memperbaiki keadaan.

"Kami menjemput wakil daripada semua parti politik utama dan mereka telah menerima jemputan kami dan komited untuk bekerjasama dengan kami," katanya.

Ketua tentera berjanji bahawa mereka yang melakukan kekejaman terhadap penunjuk perasaan akan menghadapi keadilan.

"Kami juga akan memastikan keadilan ditegakkan bagi setiap kematian dan jenayah yang berlaku semasa protes," katanya.

Sheikh Hasina, 76, dan adiknya, Sheikh Rehana, meninggalkan ibu negara Dhaka dengan helikopter tentera dan menuju ke India, lapor media Bangladesh.

Penunjuk perasaan sebelum ini memasuki kediaman rasmi perdana menteri Ganobhaban.

Beliau mahu merakamkan ucapan sebelum pergi, tetapi tidak mendapat peluang dalam kejadian yang berlaku dengan pantas itu.

Kejatuhan Hasina berlaku berikutan protes selama berminggu-minggu, yang pada mulanya ditujukan terhadap sistem tempahan pekerjaan kerajaan tetapi kemudiannya bertukar menjadi gerakan besar-besaran menentang pemerintahan Liga Awami.

Lebih 300 orang maut dan beribu-ribu cedera dalam pergolakan sejak pertengahan Julai ketika kerajaan Hasina melancarkan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan.

Sekurang-kurangnya 98 orang terbunuh dalam pertempuran ganas pada Ahad.

Hasina memerintah negara yang mempunyai 170 juta penduduk antara 1996 dan 2001 serta sekali lagi sejak 2009.

Beliau memenangi penggal keempat berturut-turut dan yang kelima secara keseluruhan pada Januari tahun ini dalam pilihan raya parlimen yang diboikot oleh pembangkang utama Parti Nasionalis Bangladesh (BNP).

Keselamatan dipertingkatkan di sepanjang sempadan India-Bangladesh di tengah-tengah laporan bahawa Hasina akan menyeberang ke India melalui sempadan negeri Tripura.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan