SUKAN

BERLATIH DUA HARI SEMINGGU, ATLET TERMUDA E-SUKAN TERENGGANU GALAS HARAPAN PINGAT

07/08/2024 10:28 AM

KUALA TERENGGANU, 7 Ogos (Bernama) -- Pemain ranking kedua e-sukan bagi acara e-Football di Malaysia, Muhammad Hazimi Mohd Iskandar hanya berlatih dua hari seminggu sebagai persediaan untuk bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21, dek kepadatan jadualnya sebagai pelajar. 

Beliau yang merupakan seorang daripada dua pemain acara itu, berserta keseluruhan 15 atlet e-sukan Terengganu yang akan diterbangkan ke Sarawak, merasakan tempoh latihan tersebut tidak mencukupi.

Anak bongsu daripada lima beradik itu bagaimanapun menyedari tanggungjawabnya sebagai pelajar tingkatan empat di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit, Kuala Nerus menjadi keutamaan, dalam memenuhi minatnya terhadap sukan itu.

"Jujurnya ia (tempoh latihan) tidak mencukupi, namun, disebabkan saya dah mula bermain e-Football ini sejak awal tahun ini, insya-Allah, ia memadai. 

"Dari segi tekanan, sebelum ini saya dah main FIFA dan telah menyertai beberapa kejohanan. Di situ saya dah jumpa ramai pemain yang hebat, jadi insya-Allah saya dah terbiasa," katanya kepada pemberita pada majlis makan malam bersama bapa angkat sukan itu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, di sini malam tadi. 

Berasal dari Kampung Merbau Patah, di sini, Muhammad Hazimi, yang juga atlet termuda pasukan, bercita-cita mewakili Malaysia dalam acara e-Football pada kejohanan lebih besar. 

Sementara itu, pengurus pasukan Syed Afif Hakimi Tengku Abdullah berkata Terengganu bakal berentap dalam empat acara sahaja daripada keseluruhan tujuh yang dipertandingkan ekoran ketiadaan pemain untuk e-Racing.

"Bagaimanapun, kita positif untuk raih sasaran satu pingat emas bagi acara Playerunknown's Battleground Mobile (PUBG Mobile) dan tiga lagi sasaran pingat yang kita gelar 'bonus' iaitu jangkaan boleh menang emas atau perak bagi Mobile Legends Bang Bang, e-Football dan Tekken 8.

"Untuk e-Racing pun saya difahamkan ada dalam enam atau tujuh negeri sahaja yang masuk dan acara ini Sarawak memang mahir (pro). Jadi, sebab itu dengan kelebihan sebagai tuan rumah, Sarawak pilih untuk masukkan acara itu," katanya sekali gus memilih Sarawak sebagai pesaing terkuat Terengganu. 

Berbekalkan persiapan terakhir dengan momentum terbaik ditonjolkan anak buahnya yang kebanyakannya muka baharu, beliau yakin mereka mampu mencapai sasaran pingat.

Syed Afif Hakimi bagaimanapun berpendapat sukar bagi Terengganu mengekalkan kedudukan juara keseluruhan e-sukan yang diraih menerusi pencapaian dua pingat emas, pada edisi sebelum ini di Kuala Lumpur.

SUKMA 2024 berlangsung dari 17 Ogos hingga 24 Ogos ini, melibatkan pelbagai acara sukan yang dipertandingkan di sembilan bahagian di Sarawak iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Miri dan Betong.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan