DUNIA

PERTUNJUKAN DRON 'DEADPOOL & WOLVERINE' PECAH REKOD DUNIA DUA KALI

07/08/2024 01:15 PM

WASHINGTON, 7 Ogos (Bernama-UPI) -- Pertunjukan dron bertemakan filem Deadpool & Wolverine telah memecahkan Rekod Dunia Guinness untuk paparan udara terbesar watak fiksyen yang dibentuk oleh dron -- dua kali, lapor United Press International (UPI).

Pertunjukan dron oleh Sky Elements yang ditaja bersama oleh Marvel mencipta rekod di San Diego Comic-Con dengan menggunakan 1,599 dron untuk membentuk imej Deadpool, watak yang dibintangi oleh Ryan Reynolds.

Pertunjukan itu memecahkan rekod yang sama beberapa saat kemudian dengan imej watak Wolverine yang dilakonkan oleh Hugh Jackman, dengan menampilkan 1,607 dron.

Sky Elements sebelum ini mencipta rekod yang sama semasa Krismas 2023 dengan imej udara Nutcracker.

"Matlamat utama syarikat dengan rekod ini adalah untuk mempamerkan kebolehan kami seperti yang tidak pernah dilakukan sebelum ini," kata Tyler Kubicz, pengurus produksi di Sky Elements kepada Guinness World Records mengenai pertunjukan terbaru itu.

-- BERNAMA-UPI

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan