JENAYAH & MAHKAMAH

DUA PENGAWAL KESELAMATAN DITAHAN CURI KABEL TM DI LABUAN

07/08/2024 01:19 PM

LABUAN, 7 Ogos (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki disyaki terlibat dalam aktiviti mencuri kabel milik  Telekom Malaysia (TM) bernilai RM10,000 di stesen pendaratan kabel Kampung Tanjung Aru pada 31 Julai lepas.

Ketua Polis Labuan Supt Mohd Hamizi Halim berkata penahanan dua lelaki berumur 25 dan 27 tahun itu dilakukan semasa operasi Op Lusuh.

“Kabel terbabit dilaporkan hilang pada 30 Julai. Dua suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan di stesen itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati kabel yang dicuri itu dijual kepada perniagaan besi buruk berdasarkan resit yang dijumpai dan dua lelaki terbabit turut positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kes berlainan, Mohd Hamizi berkata tujuh remaja ditahan pada 27 Julai berhubung kecurian empat motosikal yang dilaporkan sepanjang bulan lepas.

Kesemua mereka berumur 14 hingga 18 tahun disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan