AM

PROF DR ZALIMAN SAULI DILANTIK SEMULA NAIB CANSELOR UNIMAP - KPT

07/08/2024 07:47 PM

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Prof Dr Zaliman Sauli dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa Jumaat ini hingga 8 Ogos 2026.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan watikah pelantikan Zaliman, 57, telah diserahkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Zaliman merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Fizik dari Universiti Teknologi Malaysia pada 1991 sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Semikonduktor Bahan dan Peranti di University of Surrey, United Kingdom pada 1995.

Beliau kemudian memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Mikroelektronik di UniMAP pada 2012.

“KPT yakin dengan pelantikan semula ini, Zaliman dapat meneruskan perancangan bagi memenuhi aspirasi serta hala tuju UniMAP dalam memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terutama dalam teknologi baharu industri semikonduktor untuk melahirkan graduan TVET sedia industri,” menurut KPT.

Zaliman sebelum ini dilantik memegang jawatan itu pada 9 Ogos 2021 bagi menggantikan Prof Dr R. Badlishah Ahmad yang hampir dua tahun menyandang jawatan berkenaan sejak 2019.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan