POLITIK

DUN MAHKOTA: HORMATI SEMANGAT KERAJAAN PERPADUAN - ZAHID HAMIDI

08/08/2024 01:44 PM

PUTRAJAYA, 8 Ogos (Bernama) -- Semua parti dalam Kerajaan Perpaduan harus menghormati semangat perpaduan dan tidak membuat tuntutan ke atas mana-mana kerusi sebelum ia diputuskan kepimpinan pusat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata semangat itu perlu diterjemahkan dalam menghadapi mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Saya fikir kita mesti menterjemahkan semangat Kerajaan Perpaduan, bukan tuntut itu dan ini. Sila hormat...kalau kerusi itu kepunyaan sesebuah parti, jadi formulanya kerusi itu akan diberikan kepada parti berkenaanlah,” katanya kepada media selepas merasmikan National Symposium of Rural Planning and Development 2024, di sini hari ini.

Baru-baru ini Ketua Parti Amanah Kluang Dr Mohd Zuhan Mohd Zain dilaporkan berkata parti itu sedia untuk bertanding dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sekiranya diberi peluang, dan sudah menyenaraikan calon bersesuaian untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan negeri dan pusat.

Ahmad Zahid bagaimanapun berkata kenyataan yang dibuat oleh Ketua Amanah Kluang itu tidak mencerminkan kepimpinan di pusat, kerana di peringkat pusat masih belum ada perbincangan mengenai perkara berkenaan setakat ini.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, meninggal dunia Jumaat lepas, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK bagi kerusi DUN Mahkota Selasa depan (13 Ogos) untuk menetapkan tarikh penting bagi PRK DUN berkenaan.

Pada PRN Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti 5,166 undi.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan