EKONOMI

TABUNG HAJI KOMITED JAYAKAN INISIATIF EKONOMI MADANI, PERKASA SALURAN BANTUAN

08/08/2024 04:43 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) komited mendukung usaha kerajaan memperkasa ekonomi negara melalui inisiatif membabitkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) selaras dengan Ekonomi MADANI.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman berkata sejak penubuhan lebih enam dekad lepas, TH telah menyalurkan zakat berjumlah RM1.37 bilion kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri untuk diagihkan kepada golongan asnaf.

Beliau berkata selaku organisasi pengurusan simpanan patuh Syariah bagi tujuan mengerjakan ibadah haji, TH turut menyahut tanggungjawab menerajui serta memperluas peranan perbankan Islam dalam menyalurkan bantuan lebih teratur kepada golongan memerlukan.

“Kami beriltizam untuk mengukuhkan kelestarian impak sosial negara menerusi instrumen kewangan Islam.

“Komitmen memperkasa penyaluran bantuan ini dapat dilihat melalui kejayaan pelaksanaan inisiatif Sadaqa House yang dikelola oleh syarikat sekutu kumpulan TH iaitu Bank Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) pagi ini mengenai enam GLIC utama negara, termasuk TH yang memberi komitmen secara kolektif membuat pelaburan langsung domestik sebanyak RM120 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Inisiatif diterajui MOF di bawah pelaksanaan fasa pertama program GEAR-uP, adalah sebagai memangkin sektor ekonomi utama negara.

Menjelaskan selanjutnya, Syed Hamadah berkata dana bernilai lebih RM25 juta daripada inisiatif Sadaqa House telah disalurkan untuk meningkatkan kemampuan 1,200 usahawan mikro menerusi program pembiayaan mikro iTEKAD.

Selain itu, dana Sadaqa House turut dimanfaatkan untuk memelihara kesejahteraan hidup dan pendidikan kepada hampir 10,000 penerima manfaat termasuk 86 anak yatim yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi manakala selebihnya daripada golongan asnaf dan B40 di seluruh negara menerusi pelbagai usaha dan program.

“TH berharap dengan adanya kerjasama dengan GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan lain dalam inisiatif memperkasa ekonomi MADANI ini, lebih banyak syarikat-syarikat terbabit turut memperuntukkan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi tujuan berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan