EKONOMI

AIRASIA TINGKATKAN KEKERAPAN DENGAN 3,281 PENERBANGAN MINGGUAN KE ASEAN

08/08/2024 05:39 PM

SEPANG, 8 Ogos (Bernama) -- AirAsia telah meningkatkan kekerapan penerbangan domestik dan antarabangsa dengan kini mengendalikan sebanyak 3,281 penerbangan mingguan merentasi 10 negara ASEAN bagi menggalakkan pelancongan dan pertumbuhan ekonomi di rantau ini.

Pengarah Urusan AirAsia Malaysia Datuk Kapten Fareh Mazputra mengumumkan kekerapan penerbangan yang dipertingkatkan itu semasa sambutan Hari ASEAN Ke-57.

"AirAsia Malaysia akan mengendalikan 45 peratus daripada penerbangan mingguan ini ke negara-negara ASEAN, merangkumi 78 laluan sehingga akhir 2024," katanya pada majlis tersebut yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri.

Pada 2023, AirAsia Group telah membawa lebih 61 juta penumpang, dengan lebih 33 peratus daripada mereka melakukan perjalanan dalam ASEAN.

"Selama bertahun-tahun, syarikat penerbangan ini telah menjadi kuasa transformasi di ASEAN, mendemokrasikan perjalanan udara bagi berjuta-juta orang.

"Kami telah memperkenalkan laluan yang terkemuka serta tempat-tempat menarik yang tersembunyi dalam pasaran pelancongan di rantau ini, dengan kira-kira 60 peratus daripada destinasi kami adalah baharu dan unik," kata Fareh.

Katanya tema Hari ASEAN tahun ini, "Connected and Resilient Community," adalah selari dengan misi AirAsia untuk menghubungkan 10 negara ASEAN.

Beliau juga berkata AirAsia akan menyambung semula laluan Kuala Lumpur ke Da Lat, Vietnam, dengan empat penerbangan mingguan bermula 1 November, 2024.

Dikenali dengan iklim yang sejuk, landskap yang indah, dan warisan budaya yang kaya, Da Lat adalah bahagian penting dalam strategi AirAsia untuk mengukuhkan rangkaiannya dan menawarkan pilihan perjalanan mampu milik dalam ASEAN.

"Kekerapan penerbangan yang ditingkatkan dan laluan yang disambung semula ini dijangka dapat meningkatkan pelancongan dengan ketara melalui penyediaan lebih banyak pilihan perjalanan dan fleksibiliti, yang membawa kepada kedatangan pelancong yang lebih ramai, peningkatan perbelanjaan dalam perniagaan tempatan dan penciptaan pekerjaan dalam sektor pelancongan," kata Fareh.

Di majlis tersebut, AirAsia MOVE menandatangani perjanjian kerjasama dengan Persatuan Pelancongan ASEAN (ATA), memperkukuhkan sokongannya melalui pengesahan, jangkauan kepada persatuan yang menjadi ahli, dan kerjasama dengan Organisasi Pelancongan Nasional (NTO) ASEAN untuk ASEAN Explorer Pass, produk langganan perjalanan utama AirAsia MOVE.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan