DUNIA

OLIMPIK PARIS: VEDDRIQ LEONARDO RAIH EMAS PERTAMA INDONESIA

09/08/2024 09:24 AM

JAKARTA, 9 Ogos (Bernama-ANTARA) -- Veddriq Leonardo, mencipta sejarah buat Indonesia apabila berjaya meraih pingat emas pertama negara itu di Sukan Olimpik Paris 2024, dalam acara speed climbing lelaki.

Walaupun bermula perlahan, Veddriq yang juga bekas pemegang rekod dunia berjaya menewaskan atlet China, Wu Peng dengan catatan masa 4.75 saat di Le Bourget Climbing Venue, Paris, lapor Agensi Berita Antara.

Wu terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas hanya ketinggalan 0.02 saat di belakang atlet kelahiran Pontianak itu.

Sementara itu, Sam Watson dari Amerika Syarikat berjaya bangkit dan meraih gangsa dengan catatan masa 4.74 saat, menewaskan atlet Iran, Reza Alipour Shenazandifard, yang menamatkan perlumbaan dengan 4.88 saat, menurut laman sesawang rasmi Olimpik.

Sebelum ini, harapan Indonesia untuk meraih pingat dalam acara speed climbing wanita di Olimpik Paris 2024 lebur apabila kedua-dua atletnya Desak Made Rita Kusuma Dewi dan Rajiah Sallsabilah tersingkir daripada saingan.

Sementara itu, Aleksandra Miroslaw dari Poland mendominasi saingan speed climbing wanita, apabila meraih emas dengan memperbaharui rekod dunia menerusi catatan 6.06 saat.

Atlet China, Deng membawa pulang perak, manakala Kaucka menyumbang gangsa untuk Poland.

-- BERNAMA-ANTARA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan