SUKAN

MIRZA NAZRAN DAN MIRZA NAZHAN PASANG IMPIAN BERGELAR ATLET BADMINTON KEBANGSAAN

09/08/2024 03:01 PM

SEREMBAN, 9 Ogos (Bernama) -- Pasangan kembar, Mirza Nazran Muhammad Sam dan Mirza Nazhan Muhammad Sam bertekad menonjolkan kebolehan pada debut pertama mereka di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 bagi mengejar impian bergelar atlet kebangsaan.

Mewakili Negeri Sembilan, Mirza Nazran dan Mirza Nazhan beraksi dalam acara badminton beregu lelaki bersemangat untuk mencipta kejayaan pada temasya dwitahunan itu nanti.

"Kami amat teruja dapat mewakili negeri di SUKMA, saya dan abang (Mirza Nazhan) mula sertai sukan badminton pada usia 11 tahun, impian saya dan abang mahu menjadi pemain badminton negara," katanya kepada Bernama.

Meskipun turun sebagai pemain bukan pilihan, pasangan kembar berusia 20 tahun itu menyifatkan status itu tidak memberikan tekanan, sebaliknya mahu fokus melepasi setiap peringkat perlawanan untuk memburu pingat buat kontinjen negeri nanti.

Berkongsi rutin latihan di bawah bimbingan bekas pemain beregu kebangsaan Mohd Zakry Abdul Latif, pemain itu perlu menjalani latihan setiap hari, seawal 6.30 pagi selain turut mengadakan latihan di gim bagi meningkatkan kekuatan dan kecergasan fizikal.

Mirza Nazhan berkata sebagai kembar, antara kelebihan dimiliki adalah persefahaman serta kepercayaan yang tinggi ketika beraksi di atas gelanggang, sekali gus dapat memberikan perlawanan sengit walaupun bakal berdepan dengan kontinjen dibarisi atlet kebangsaan pada temasya itu nanti. 

“Jurulatih juga sering mengingatkan kami agar mengawal emosi dengan baik, lumrah adik-beradik kadang-kadang ada perselisihan faham tetapi tidak membawa masalah itu di gelanggang, sekarang ini fokus kami adalah mahu menang di setiap peringkat perlawanan,” katanya.

Beliau berkata antara kejohanan disertai mereka ialah AirAsia National Championship 2020, Junior International Challenge Under-19 pada 2022 dan Kejohanan Tertutup Negeri Sembilan pada tahun lepas.

Kem badminton negeri kali ini turut dibarisi tujuh pemain pelapis kebangsaan iaitu Ung Yi Xing, Heng Zi Hin, Ayu Fu Sheng, Goh Shu Xuan, Hazrilz Haiqal Zaizul Fazli, Lai Ting Cen dan Vaneesa Ng. 

Pencapaian terbaik pasukan badminton negeri ini ialah satu pingat emas dan tujuh pingat gangsa pada temasya SUKMA Perak pada 2018.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan