AM

LEBIH 90 ACARA DI SEMUA KOMUNITI MADANI SEMARAKKAN BULAN KEBANGSAAN

09/08/2024 06:17 PM

MELAKA, 9 Ogos (Bernama) -- Jabatan Penerangan (JaPen) Melaka merancang lebih 90 acara di semua 84 Komuniti MADANI dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2024.

Pengarahnya Ab Rasil Hajatil berkata acara melibatkan kempen Kibar Jalur Gemilang dan inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang bagi menzahirkan semangat dan rasa cintakan negara dalam masyarakat.

"Semua lapisan masyarakat tanpa mengira status, kaum dan agama juga diseru untuk mengibarkan bendera sepanjang Bulan Kebangsaan ini  sama ada di rumah, pejabat, premis perniagaan dan kawasan kampung.

"Usaha kerajaan memperkenalkan Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang juga menunjukkan keseriusan dalam menggerakkan seluruh rakyat untuk menjayakan inisiatif ini dalam menghargai kemerdekaan yang dikecapi," katanya kepada pemberita di Jabatan Penyiaran negeri di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemu bual pada program Wawancara Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri @ Konti Melaka FM dan turut dihadiri Pengarah Penyiaran Melaka Siti Nurbaini Khairi.

Mengulas lanjut beliau berkata Ketua Menteri Datuk Ab Rauf Yusoh juga bakal menyempurnakan majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 peringkat negeri pada 12 Ogos ini di Dataran Keris Alor Gajah.

Katanya pada program bermula pukul 8 pagi itu, pelbagai pengisian menarik turut diatur seperti   senamrobik Merdeka, pertandingan busana tokoh kanak-kanak Tadika Perpaduan dan gimik perasmian.

"Lebih menarik, kita turut mengadakan Jualan Rahmah, selain kaunter bayaran saman Polis Diraja Malaysia dengan potongan 30 peratus pameran jabatan dan agensi.

"Turut disediakan Kaunter Perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), saringan kesihatan, saringan kanser secara percuma," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan