AM

UEM SUNRISE ANJUR PROGRAM RAIKAN HARI PEMULIHARAAN ALAM SEDUNIA

09/08/2024 08:37 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Sempena sambutan Hari Pemuliharaan Alam Sedunia, UEM Sunrise Berhad baru-baru ini telah menganjurkan program komuniti Waste to Wonder bertujuan memberi inspirasi dan menggalakkan masyarakat, mengamalkan amalan pengurusan sisa yang Mampan menerusi kaedah yang inovatif dan kreatif.

Program itu menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar dengan mempromosikan pengurusan sisa yang berkesan dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara sumber asli dan ekosistem.

UEM Sunrise dalam satu kenyataan memaklumkan program itu, yang membawakan program dakam dua siri itu, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) global, khususnya SDG-12 (Konsumi dan Produksi Berhemah) dan SDG-13 (Perubahan Iklim).

UEM Sunrise bekerjasama dengan perniagaan sosial - entiti perniagaan yang berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) - untuk mencipta impak sosial dan alam sekitar yang positif melalui program tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Sufian Abdullah menekankan komitmen berterusan syarikat itu terhadap amalan mampan dan tanggungjawab alam sekitar, mencerminkan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Kami berusaha memupuk budaya kemampanan sejak usia muda dan percaya bahawa setiap usaha, tidak kira sekecil mana pun, menyumbang kepada usaha pemuliharaan alam semula jadi yang lebih besar dan memberi impak positif kepada masyarakat,” kata Sufian.

Program pertama Know-Your-Edibles, berlangsung pada 24 Julai di Teluk Kiara. Program ini hasil kerjasama Social Enterprise Knowledge New Old Twists (KNOTs) melibatkan pelajar dari dua sekolah angkat PINTAR, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Rinching Hilir dan SK Bangi.

Pelajar berusia 10 hingga 12 tahun mengambil bahagian dalam pembelajaran secara langsung mengenai penanaman, teknik pengkomposan, dan mengekalkan laman sihat.

Program kedua, Waste to Wonder Hunt,  diadakan pada 28 Julai di pusat beli-belah Galeri Publika.

Rakan kongsi perniagaan sosial, termasuk Hara Makers, KITARAN, Kitarefill, Refiller Mobile, Luzou dan SIREH Park UEM Sunrise, melakukan demonstrasi aktiviti dan kaedah mampan untuk mengubah bahan buangan kepada sumber yang berharga.

Para peserta teruja untuk mengetahui amalan ini dan diberikan produk taman sihat daripada Eats, Shoots & Roots kerana menanam makanan mereka sendiri di rumah.

Pengasas bersama KITARAN Emir Bustami berkata mereka sangat teruja untuk bekerjasama dengan perniagaan sosial dalam inisiatif ini.

“Ia memberi peluang untuk mendidik masyarakat tentang mengubah bahan buangan kepada barangan boleh guna semula dan meningkatkan nilai produk sedia ada. Usaha sebegini penting untuk memelihara alam sekitar semula jadi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan