AM

PERAK PENGELUAR KERANG-KERANGAN TERTINGGI TAHUN LEPAS - EXCO

10/08/2024 07:26 PM

IPOH, 10 Ogos (Bernama) -- Perak mencatatkan pengeluaran tertinggi kerang-kerangan di negara ini pada tahun lepas iaitu sebanyak 14,469.28 tan metrik, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Mohd Zolkafly berkata bagi memastikan bekalan mencukupi dan berkualiti tinggi, kerajaan negeri terus memfokuskan kepada pembangunan kawasan pengeluaran kerang yang mampan selaras dengan matlamat Perak Sejahtera 2030.

“Kerajaan negeri setiap tahun memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi menabur induk kerang untuk memastikan kelestarian pengeluaran kerang di Perak,” katanya dalam ucapan perasmian Fiesta Ikan Perak 2024 di sini hari ini.

Perak juga antara pengeluar utama ikan yang mencatatkan sebanyak 407,794.9 atau 22.8 peratus sekali gus menjadikan negeri ini sebagai pengeluar kedua selepas Sabah.

Beliau berkata program inventori sumber perikanan berjaya dilaksanakan di sepanjang Sungai Perak bagi mengenal pasti kepelbagaian spesis yang terdapat di perairan negeri. 

“Pihak Jabatan Perikanan merekodkan jumlah pelepasan benih ikan asli hampir mencecah lapan juta ekor seperti benih ikan lampam, ikan baung, jelawat, kelah, terbul, kerai dan benih udang galah,” katanya.

Mengulas mengenai Fiesta Ikan Perak 2024, beliau berkata program itu diharap mampu membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat selain mendidik masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber perikanan agar kekal lestari untuk generasi akan datang.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan