AM

BEKAS JURUTERBANG MENANG RM1 JUTA

12/08/2024 03:47 PM

ALOR SETAR, 12 Ogos (Bernama) -- Seorang bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berhasrat untuk menginfakkan sebahagian wangnya sebagai tanda syukur di atas kemenangannya dalam Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) yang ke-102.

Mohd Azhar Mohd @ Man, 53, yang bersara dengan jawatan Leftenan Kolonel itu berkata bagaimanapun, beliau akan menyelesaikan kesemua baki hutang termasuk pinjaman perumahan, sebelum menentukan bahagian untuk infak, selain berhajat membawa ahli keluarganya menunaikan umrah.

"Sebelum ini saya dah biasa menang cabutan BSN ni, dah lebih 10 kali, tapi hanya dapat hadiah-hadiah kecil seperti sijil SSP bernilai RM200. Sasaran sebenar saya bila mula menyimpan SSP sejak tahun 2000 ialah nak menang kereta saja, tak sangka pula nak menang sampai RM1 juta.

"Saya sangat bersyukur dan yakin rezeki ini datang hasil usaha menyimpan secara konsisten dan infak juga merupakan salah satu amalan saya, bersedekahlah siang dan malam walaupun sedikit," katanya kepada pemberita pada Majlis Meraikan Jutawan BSN SSP yang ke-102 di sini hari ini.

Berkongsi kisahnya yang konsisten berinfak, Mohd Azhar berkata selepas dimaklumkan mengenai kemenangannya minggu lepas, beliau terfikir apakah kebaikan yang telah dilakukannya sehingga mendapat rezeki yang sangat besar itu.

"Dua bulan lepas, saya menerima panggilan daripada seorang ustaz yang memerlukan dana untuk membuat pagar sekolah. Mereka kekurangan dana sebanyak RM5,000, tapi pada masa tu saya hanya ada RM1,000 lebih dalam akaun, jadi saya cuma mampu infakkan RM1,000 saja masa tu.

"Mungkin berkat infak RM1,000 itu, Allah gantikan balik dengan RM1 juta ini. Jadi nasihat saya rajin-rajinlah bersedekah serta infak dan sentiasalah bersangka baik dengan Allah," katanya yang mempunyai tiga anak berusia 23 hingga setahun.

Selepas bersara daripada TUDM, Mohd Azhar yang berasal dari Guar Chempedak, Gurun meneruskan baktinya sebagai tenaga pengajar (secara kontrak) di Kolej Tentera Udara di Kepala Batas.

Sementara itu, Pengerusi BSN Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin yang turut berada pada majlis itu berkata sehingga Julai 2024, seramai lima pelanggan BSN dari Kedah telah dinobatkan sebagai Jutawan BSN SSP.

"Sejak diwujudkan pada 1978, BSN SSP merupakan salah sebuah produk utama kami yang berjaya mendorong ramai rakyat untuk menyimpan demi menjamin masa hadapan lebih baik.

"Kami akan sentiasa berusaha untuk memastikan perkhidmatan perbankan yang menyeluruh dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat di samping mewujudkan produk-produk yang sesuai dengan profil dan keperluan kewangan mereka," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan