AM

ANNUAR PATUT SELESAI ISU PENEROKA KESEDAR, ORANG ASLI SEMASA JADI MENTERI - AHMAD ZAHID

12/08/2024 05:07 PM

GUA MUSANG, 12 Ogos (Bernama) -- Isu hak milik tanah peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan bekalan air bersih untuk perkampungan Orang Asli sepatutnya diselesaikan semasa Tan Sri Annuar Musa memegang jawatan menteri dahulu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mempersoalkan tindakan Annuar menggunakan kedua-dua isu berkenaan untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sedangkan ia berlaku sejak beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar antara tahun 1993 dan 1999.

"Sepatutnya isu itu selesai ketika dia jadi menteri, kenapa di Nenggiri dia timbulkan? Kegagalan masa dia, saya dan kerajaan semasa yang terpaksa selesaikan. 

"Tepuk air di dulang, terpercik ke muka dia, atas kelemahan dan kekhilafan yang dia lakukan, kami yang terpaksa menanggung, tetapi demi rakyat peneroka dan peserta (Kesedar), kita akan bantu selesaikan," katanya pada sidang media selepas Program Temu Mata bersama masyarakat Jeram Tekoh, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Ashraf Wajdi Dusuki, Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Pengarah PRK BN DUN Nenggiri Mohd Syahbuddin Hashim, Pengerusi Kesedar Datuk Zawawi Othman dan calon BN bagi PRK DUN Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Annuar yang merupakan Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) bagi PRK Nenggiri dalam ceramahnya di sini semalam mengesyorkan agar tanah seliaan Kesedar diberi terus oleh kerajaan negeri kepada peneroka.

Sementara itu, JAKOA dalam kenyataan hari ini berkata masalah bekalan air kampung Orang Asli berlaku berikutan kurangnya kawasan tadahan hujan yang dapat menyalurkan air ke kawasan sekitar akibat aktiviti pembalakan dan pembukaan ladang secara tidak terkawal.

JAKOA berkata masalah itu berlaku bukan sahaja di perkampungan Orang Asli malah di seluruh negeri Kelantan.

DUN Nenggiri yang berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Azmawi Fikri mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail daripada PN.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan