AM

DISPLIN & KOMITMEN TINGGI JADI PEGANGAN PESERTA IPR-INTAN USAHAKAN TANAMAN CILI

12/08/2024 07:09 PM

Oleh Amanina Mohamad Yusof

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Disiplin dan komitmen yang tinggi antara dua faktor utama yang perlu menjadi pegangan peserta Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)-Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) di sini, bagi memastikan tanaman yang diusahakan membuahkan hasil setimpal.

Seorang peserta Mohd Sadi Abd Rahman, 45, atau lebih dikenali sebagai Jo berkata pada awalnya beliau langsung tidak ada ilmu pengetahuan mengenai bidang pertanian, namun berkat disiplin diri yang tinggi dan keinginan belajar, beliau kini mampu memperoleh hasil pendapatan yang cukup memberangsangkan melalui projek itu.

Bekas petugas kru acara itu berkata sebelum menyertai IPR-INTAN secara purata beliau hanya memperoleh RM2,000 sebulan dan kadang-kala kurang dari itu, selain sering terputus pendapatan kerana tiada ‘job’, namun kini secara purata beliau boleh membawa pulang RM5,000 sebulan hasil program berkenaan.

"Ketika saya mula sertai program ini pada bulan Ogos tahun lepas, saya tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam pertanian.

“Berkat tunjuk ajar dari pakar tanaman cili yang kami panggil cikgu, banyak yang saya pelajari dari mula menanam sehingga menuai. Namun itu semua tak menjanjikan hasil yang lumayan tanpa disiplin diri,” katanya kepada Bernama.

Bapa kepada empat anak itu berkata untuk menjadi petani berjaya, beliau perlu berada di ladang seawal pukul 7.30 pagi, dan berehat seketika pada pukul 12 tengah hari, sebelum kembali ke ladang 2 petang sehingga lewat petang untuk menguruskan plot yang ditugaskan kepadanya.

“Pertanian memerlukan kerja keras, masa, dan kesungguhan yang tinggi, termasuk bangun awal pagi dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Jo berkata menjadi peserta IPR-INTAN tidak susah, kerana segalanya disediakan kerajaan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, termasuk dari segi peralatan, racun, tanah, biji benih dan cikgu yang ditugaskan mengajar peserta mengenai penanaman cili yang betul.

"Cikgu di sini telah menyediakan SOP yang sesuai untuk memastikan cili berbuah dengan baik. Saya tidak perlu mengubah cara saya bekerja termasuk jumlah baja dan racun yang diperlukan, waktu meracun dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu seorang peserta wanita tunggal dalam 20 peserta IPR-INTAN di sini Saimah Abdullah, 66, berkata inisiatif yang diperkenalkan Kementerian Ekonomi itu bukan sahaja membantu menambah pendapatan kumpulan B40 sepertinya, tetapi juga memberi peluang kepada peserta untuk memperoleh pengetahuan baharu dan berkongsi ilmu dengan jiran-jiran.

“Peluang untuk menjadi peserta dalam program ini sangat berharga. Ia membuka ruang bukan sahaja untuk menambah pendapatan, tetapi juga untuk memperoleh ilmu pengetahuan yang dapat dikongsi dengan komuniti.

“Projek IPR-INTAN memang bagus untuk rakyat. Kalau tiada kerja, masuklah program ini untuk tambah pendapatan dan yang penting kita mahu berusaha," kata pesara kerajaan itu.

Ketua Peserta Projek IPR-INTAN Putrajaya Luqman Nur Hakim Alias berkata 20 peserta berusia 21 hingga 71 tahun dari golongan B40 terpilih untuk menyertai projek penanaman cili fertigasi yang diusahakan di atas tapak seluas 10 ekar di Presint 9, di sini, sejak ia dimulakan Ogos tahun lepas.

Beliau berkata di tapak itu, terdapat 40,000 polibeg yang ditanam dengan cili jenis Sakata 461 dan apabila musim menuai tiba, setiap polibeg dijangka mengeluarkan kira-kira dua hingga tiga kilogram cili bagi setiap musim.

“Kalau hari hujan pada waktu siang, peserta akan diminta hadir ke ladang pada waktu malam untuk membaja atau meracun, dan setakat ini peserta amat patuh dengan arahan yang diberikan kerana masing-masing ingin mendapatkan hasil yang terbaik menerusi projek ini,” katanya.

Luqman Nur Hakim berkata setiap peserta ditugaskan menjaga satu plot yang mengandungi 2,000 pokok cili.

Beliau berkata banyak penambahbaikan telah dibuat selepas tapak itu dilanda banjir tahun lepas yang mengakibatkan cili di plot satu dan dua ditenggelami air.

Antara penambahbaikan yang dibuat termasuklah, membina benteng di sebelah anak Sungai Gajah, mendalamkan sungai dan membina para untuk meletakkan pokok-pokok cili di situ.

Beliau berkata hasil tuaian, cili-cili itu akan dihantar ke pusat pengumpulan hasil PPK Kuala Langat untuk dikumpulkan, sebelum diagihkan kepada peraih dan pelanggan seperti restoran, pasar pagi dan syarikat-syarikat yang membuat sos cili.

Projek IPR-INTAN Putrajaya adalah kerjasama strategik antara Kementerian Ekonomi bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, melalui Lembaga Pertubuhan Peladang dan juga PPK Kuala Langat.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan