JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI DIDAKWA MEMANDU DALAM KEADAAN MABUK, SEBABKAN KEMATIAN DUA PELAJAR KOLEJ

12/08/2024 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki yang baru menamatkan pengajian di universiti luar negara dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian dua pelajar kolej, dua hari lepas.

Lim Cong Li, 23, seorang siswazah jurusan Pengurusan Perniagaan dan Logistik itu, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan.

Lelaki itu didapati memandu kereta jenis Mercedes C200 di bawah pengaruh alkohol iaitu 114 miligram dalam 100 mililiter, sehingga menyebabkan kematian dua lelaki iaitu S Dinesh Raj dan R Panthalaraasan yang kedua-duanya berusia 22 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Cheras dari arah Taman Midah menghala pusat bandar Kuala Lumpur pada jam 6.43 pagi, 10 Ogos.

Pertuduhan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 44(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun, dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh sebutan.

Peguam Vincent Lawrence yang mewakili Lim memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan, selain hadir sendiri ke mahkamah hari ini.

Majistret Fatin Dayana Jalil membenarkan Lim diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

 Mahkamah juga menetapkan 21 Okt untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Sebelum ini media melaporkan, dua pelajar kolej maut dalam kemalangan membabitkan empat kereta dan dua motosikal di Jalan Cheras di sini.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun dipercayai mabuk yang juga pemandu kenderaan masuk ke laluan bertentangan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan