AM

MAXIS DAN HUAWEI JALIN KERJASAMA FOKUS KEPADA PEMBANGUNAN TEKNOLOGI 5G-ADVANCED

12/08/2024 08:56 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Maxis dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) mengumumkan kerjasama strategik menerusi Pusat Inovasi Bersama dengan memfokuskan kepada pembangunan teknologi 5G-Advanced.

Maxis dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pembangunan teknologi 5G-Advanced itu bertujuan menerokai dan membangunkan penyelesaian inovatif yang akan meningkatkan pengalaman pelanggan, kecekapan operasi, serta penggunaan pantas.

Menurut kenyataan itu, kerjasama tersebut juga bertujuan untuk mengembangkan kes penggunaan industri dan membangunkan bakat tempatan bagi aktiviti perindustrian dan keusahawanan.

“Secara keseluruhan, kerjasama ini bertujuan memacu kemajuan teknologi dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap global bidang telekomunikasi,” menurut kenyataan itu.

Menurut Maxis kerjasama itu telah dimeterai melalui pertukaran memorandum persefahaman (MoU) semasa Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertujuan memacu ekosistem pengkomersialan negara.

Di bawah terma kerjasama tersebut, Maxis dan Huawei akan meneroka inovasi dalam kapasiti gigabit untuk menyokong pengembangan rangkaian mudah alih dan teknologi 5G/5G-Advanced seperti pengkomputeran pinggir mudah alih, penghirisan rangkaian, orkestrasi rangkaian hujung ke hujung, RedCap dan Internet benda (IoT) pasif.

Kenyataan itu memaklumkan Maxis dan Huawei juga akan meneroka penggunaan pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML) untuk mengoptimumkan kecekapan pengendalian rangkaian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng berkata syarikat berkenaan menjadi syarikat pertama yang mempamerkan 5G-Advanced untuk orang ramai bukan sahaja di negara ini tetapi juga dalam kalangan negara serantau.

“Kerjasama berterusan dengan Huawei ini merupakan satu daripada pelbagai langkah kami untuk menyokong cita-cita digital Malaysia. Melalui kerjasama terbaharu ini, kami ingin memanfaatkan sepenuhnya 5G-Advanced dengan meningkatkan modal insan di samping inovasi yang dikomersialkan untuk perusahaan dan industri.

“Sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka negara, kami menantikan evolusi kesalinghubungan masa depan dan faedah ekonomi yang akan dibawakan kepada negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun berkata pihaknya yakin kerjasama yang dijalin akan membantu mempercepatkan agenda transformasi digital negara dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai ibu negara teknologi ASEAN.

“Ini adalah langkah berikut selepas Pembuktian Konsep Pulau Pintar pertama kami yang dikuasakan oleh 5.5G/5G Advanced di ASEAN yang telah berlangsung di Labuan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan