EKONOMI

DUA SYARIKAT TEMPATAN SIAPKAN KAPAL PERONDA TENTERA LAUT NIGERIA

13/08/2024 05:41 PM

LANGKAWI, 13 Ogos (Bernama) -- Syarikat pembinaan kapal tempatan KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd (KNAE) dan Northern Shipyard Sdn Bhd (Northern Shipyard) berjaya menyiapkan dua buah kapal peronda Tentera Laut Nigeria menggunakan tenaga kerja dan kepakaran tempatan dalam tempoh 24 bulan dari tarikh tempahan.

Kapal 38M Sea Eagle berkelajuan 29 knot itu merupakan aset pertahanan negara tersebut bagi tujuan meronda, mengiring, kawalan sempadan serta kegunaan misi mencari dan menyelamat (SAR).

Pengarah KNAE Khee Chee Kheong berkata reka bentuk, pembuatan dan integrasi kapal menggunakan sistem terkini dan canggih yang merupakan dedikasi syarikat untuk memenuhi keperluan industri maritim yang sentiasa berkembang.

“Kami menggunakan 99 peratus tenaga kerja dan kepakaran tempatan untuk membina dua kapal ini, ia satu penghormatan besar bagi kami. Amat luar biasa bagi syarikat untuk menyempurnakan dan menyerahkan projek ini.

“Dengan kemampuan kami membina dua kapal peronda ini kami berharap kerajaan Malaysia juga dapat memberi peluang kepada kami untuk membina kapal-kapal bagi kegunaan maritim Malaysia,” katanya pada sidang media selepas majlis penyempurnaan kapal itu di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Khee berkata pihaknya juga bercadang menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA '25) yang dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 24 Mei tahun depan sebagai platform untuk mengetengahkan lagi kepakaran dalam pembinaan kapal yang dimiliki syarikat tersebut.

Sementara itu, Pengurus Perhubungan Korporat Northern Shipyard Kapten Dr Baharin Baharom berkata kejayaan membina kedua-dua kapal tersebut adalah kesinambungan kepada penghantaran empat buah bot peronda The Great Manta kepada Tentera Laut Nigeria yang disiapkan pada Disember 2020.

“Sebelum ini empat buah bot peronda yang telah dihantar kepada Tentera Laut Nigeria mendapat maklum balas baik daripada mereka dari segi kualiti dan hasil kerja kita,” katanya.

Katanya, kedua-dua kapal peronda berkenaan dijangka diserahkan kepada Tentera Laut Nigeria pada bulan hadapan.

Adly ketika berucap pada majlis itu berkata pembinaan bot peronda 38M Sea Eagle tersebut bukan sahaja menunjukkan keupayaan industri tempatan, malah membuktikan Malaysia mampu menghasilkan kapal berteknologi tinggi setaraf dengan negara maju.

Menurutnya, ia adalah manifestasi usaha gigih dan dedikasi semua pihak yang terlibat dalam pembinaan kapal tersebut daripada peringkat reka bentuk hingga ke peringkat pembinaan dan ujian.

“Pembinaan kapal peronda ini bukan sahaja menunjukkan keupayaan industri tempatan dalam menghasilkan aset-aset berkualiti tinggi, tetapi juga membuktikan kemampuan, kemahiran dan kepakaran rakyat tempatan dalam pembuatan kapal.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan