JENAYAH & MAHKAMAH

DUA SEPUPU DITAHAN BERSAMA 50 KETULAN MAMPAT GANJA BERNILAI RM163,047

13/08/2024 03:09 PM

GEORGE TOWN, 13 Ogos (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki bersama 50 ketulan mampat ganja bernilai RM163,047 dalam serbuan di kawasan tempat letak kereta sebuah perumahan di Jalan Perak di sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menyerbu kawasan tempat letak kereta itu pada 8.38 malam dan menahan dua lelaki tempatan berumur 18 dan 28 tahun.

Beliau berkata semasa serbuan hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sejak dua minggu lepas itu, kedua-dua lelaki terbabit yang merupakan sepupu sedang memasukkan kotak berwarna coklat ke dalam sebuah pacuan empat roda di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di dalam sebuah kotak bersama dua lelaki itu menemukan 20 ketulan mampat ganja seberat 21,041 gram (g) bernilai RM65,227 sebelum polis turut menjumpai satu alat penggera kereta yang membawa kepada pemeriksaan lanjut di pacuan empat roda terbabit.

"Dalam kenderaan itu, polis menemukan dua kotak yang mengandungi 30 ketulan mampat ganja seberat 31,555 g bernilai RM97,820 dan dipercayai semasa ditahan, mereka baru mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian sindiket pengedaran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini.

Berdasarkan siasatan, Razlam berkata dua sepupu itu dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Mac lepas dan ganja terbabit dibawa masuk dari negara jiran dengan menggunakan jalan darat.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki berumur 28 tahun itu bekerja sebagai juruteknik pendawaian elektrik sebuah syarikat, manakala sepupunya pula merupakan pembantunya dalam menjalankan kerja itu.

Razlam berkata siasatan juga mendapati kedua-dua suspek menjalankan kegiatan pengedaran dadah itu berdua sahaja dan mereka dipercayai hidup mewah dengan menjual ganja.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan kira-kira 105,192 penagih dadah dan dalam serbuan itu, kami turut menyita wang tunai RM2,300," katanya.

Beliau berkata hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua lelaki itu mendapati hanya suspek berumur 18 tahun positif dadan dan dia juga mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes narkotik.

Kedua-dua lelaki itu katanya, direman selama tujuh hari hingga 15 Ogos bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan