AM

PENGUNJUNG PROGRAM MADANI RAKYAT ZON SELATAN DISARAN BAWA PAYUNG

14/08/2024 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Orang ramai yang ingin hadir ke Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan di Dataran UTM, Johor Bahru bermula esok dinasihatkan membawa payung sebagai langkah persediaan sekiranya hujan.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Johor Nor Adawiah Abdullah berkata ini memandangkan ramalan cuaca pada esok dan Sabtu menjangkakan hujan pada sebelah pagi dengan hujan berserta ribut petir pada sebelah petang. 

Beliau berkata orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa merujuk laman web http://met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih.

Pada program itu, MetMalaysia akan turut mempamerkan bas Pejabat Meteorologi Bergerak dengan pengunjung boleh mendapatkan informasi menarik mengenai operasi pembenihan awan, monsun barat daya dan maklumat ramalan cuaca.

Program MADANI Rakyat Zon Selatan merupakan ruang bagi kerajaan memaklumkan dan menguar-uarkan pencapaian serta manfaat Ekonomi MADANI kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif dan komitmen berterusan dalam memperkasa rakyat, usahawan dan industri.

Ia turut menyediakan lebih 170 perkhidmatan langsung daripada 34 kementerian dan agensi kepada rakyat seperti penukaran topi keledar percuma, diskaun saman trafik 50 peratus serta Jualan MADANI.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan