EKONOMI

HDC-MAHTEC BEKERJASAMA TINGKAT EKOSISTEM HALAL MALAYSIA

14/08/2024 09:26 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) serta Persatuan Pusat Latihan dan Pendidikan Hotel Malaysia (MAHTEC) telah menandatangani memorandum perjanjian (MOA) untuk meningkatkan ekosistem halal negara dengan mengintegrasikan industri perhotelan ke dalam inisiatif pembangunan halal yang lebih luas.

Ini akan dilaksanakan melalui penglibatan pemain sektor hospitaliti yang akan mengambil bahagian secara aktif dalam ekosistem halal Malaysia yang semakin berkembang, kata HDC dalam satu kenyataan hari ini.

“Kerjasama ini dijangka membuahkan beberapa hasil utama, termasuk penubuhan kumpulan bakat halal yang mencukupi bagi memenuhi permintaan yang semakin bercambah dalam sektor hospitaliti Malaysia.

"Inisiatif ini juga akan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan latihan semula bakat tempatan, menyediakan Malaysia untuk menjadi peneraju global dalam pembangunan bakat halal termasuk hospitaliti yang mesra Muslim," katanya lagi.

Di bawah perkongsian itu, HDC serta MAHTEC akan menawarkan program latihan industri halal yang komprehensif bagi melengkapkan profesional hospitaliti dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk cemerlang dalam sektor halal.

“Program latihan akan merangkumi tiga komponen utama iaitu Asas Industri Halal dan Pensijilan Halal Malaysia, Program Latihan Kompetensi Halal serta Program Eksekutif Halal Bertauliah (CHEP),” katanya.

Melalui program latihan ini, HDC serta MAHTEC berhasrat untuk mewujudkan kesedaran dan keterlihatan yang lebih besar dalam peluang industri halal, selain memanfaatkan kumpulan sasaran baharu serta sedia ada dalam industri perhotelan.

“Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk 'Tahun Melawat Malaysia 2025', seterusnya menyumbang kepada produk pembangunan kasar Malaysia dan meletakkan negara sebagai destinasi utama untuk hospitaliti mesra Muslim,” katanya.

Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun menambah kerjasama itu menandakan satu lagi kejayaan dalam inisiatif Pelan Induk Industri Halal 2030, memperkukuhkan lagi kepimpinan Malaysia dalam ekonomi halal global dan pelancongan mesra Muslim.

-- BERNAMA

 

 

    

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan