AM

MPA HARAP KERAJAAN NILAI SEMULA KURSUS FISIOTERAPI BAWAH TVET

14/08/2024 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA) menyuarakan harapan supaya Kerajaan Persekutuan menilai semula keputusan memasukkan kursus fisioterapi ke dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kebangsaan.

Presiden MPA Dr Mohd Haidzir Abd Manaf berkata beliau berharap kerajaan akan mengadakan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan, termasuk organisasi profesional, institusi pendidikan dan pengamal aktif dalam bidang itu, bagi memastikan kemajuan dan mengekalkan standard yang tinggi.

“Mengklasifikasikan fisioterapi sebagai kursus TVET dan bukan sebagai program ijazah penuh atau diploma, menimbulkan kebimbangan. Keperluan pendidikan semasa untuk ahli fisioterapi dibentuk memastikan pemahaman menyeluruh tentang anatomi manusia, fisiologi, patologi, keadaan klinikal dan teknik terapeutik.

“Fisioterapi ialah satu bidang yang sangat khusus, memerlukan latihan dan pendidikan menyeluruh untuk memastikan pengamalnya cekap dan mampu memberikan penjagaan yang selamat dan berkesan.

Membenarkan individu yang datang dari program teknikal atau vokasional untuk merawat pesakit sebagai ahli fisioterapi, berpotensi menjejaskan kualiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Haidzir berkata piawaian semasa perlu dikekalkan untuk menjamin bahawa semua ahli fisioterapi yang mengamalkan memiliki pengetahuan dan kemahiran penting menguruskan kes pemulihan yang kompleks.

Beliau berkata piawaian semasa perlu dikekalkan, bagi menjamin bahawa kesemua ahli fisioterapi yang mengamalkannya memiliki pengetahuan dan kemahiran penting untuk menguruskan kes pemulihan yang kompleks.

“Latihan teknikal atau vokasional mungkin tidak memberikan pendidikan secara mendalam yang diperlukan untuk memahami butiran rumit pergerakan manusia, mekanisme kecederaan dan intervensi terapeutik. Oleh itu, MPA akan terus memperjuangkan hak kesemua ahli fisioterapi dan memastikan piawaian yang telah diperjuangkan selama ini,” katanya.

Mohd Haidzir berkata MPA turut mencadangkan kepada kerajaan untuk menyediakan geran perniagaan dan latihan keusahawanan untuk graduan fisioterapi yang menganggur di Malaysia.

“Inisiatif ini bertujuan memperkasa graduan ini untuk menubuhkan pusat fisioterapi, khususnya di kawasan luar bandar yang akses kepada perkhidmatan sedemikian terhad. Selain itu, kami mengesyorkan untuk dilaksanakan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk pusat fisioterapi ini, bagi mengurangkan beban kewangan dan menggalakkan pertumbuhan.

“Satu lagi syor utama ialah melaksanakan program TVET yang disesuaikan khusus untuk melatih pembantu pemulihan. Pembantu pemulihan atau pembantu rehabilitasi, ialah seorang profesional penting yang bekerja bersama pasukan pemulihan untuk menyokong pemulihan pesakit,” katanya.

Pada 23 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa kerajaan akan mewujudkan sijil bagi kursus kemahiran fisioterapi untuk dimasukkan dalam kurikulum TVET kebangsaan.

Ahmad Zahid yang juga pengerusi Majlis TVET Kebangsaan berkata terdapat keperluan untuk kerajaan mewujudkan kursus kemahiran berkenaan bagi mengimbangi nisbah seorang ahli fisioterapi dengan kadar kependudukan negara yang pada ketika ini satu ahli fisioterapi kepada 7,400 penduduk dan kadar itu agak rendah berbanding di negara maju lain.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan