AM

22,510 KIR SABAH BERJAYA DIKELUARKAN DARIPADA STATUS MISKIN TEGAR

14/08/2024 10:42 PM

KOTA KINABALU, 14 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 22,510 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di dalam senarai locked figure di Sabah hingga 31 Jan tahun lepas berjaya dikeluarkan daripada status itu melalui Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar di negeri ini.

Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan memaklumkan data dinamik dalam pangkalan data eKasih, bagaimanapun menunjukkan seramai 4,634 KIR masih berstatus miskin tegar dan sedang dipantau sekretariat tersebut.

“Angka 4,634 KIR ini antaranya merupakan permohonan baharu yang berdaftar dalam sistem eKasih, tidak berdaftar dan perubahan status miskin kepada miskin tegar. Bilangan ini akan ditangani di bawah Fasa Dua Program Menoktahkan Miskin Tegar negeri Sabah.

“Kerajaan negeri akan mengumumkan data locked figure (sasaran bilangan miskin tegar yang dikunci) yang baharu pada penghujung tahun ini,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Pada 13 Sept tahun lepas, kerajaan Sabah telah memberi tanggungjawab kepada Sekretariat  SMJ bagi pelaksanaan intervensi bantuan untuk menyelesaikan jumlah locked figure tersebut.

Sekretariat SMJ juga berkolaborasi dengan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi pelaksanaan gerak kerja lapangan untuk tujuan pemprofilan, pemutihan dan pemadanan bantuan kepada 22,510 KIR tersebut.

Menurut sekretariat itu gerak kerja di lapangan juga dibuat bagi pemadanan intervensi bantuan kepada KIR dan ahli isi rumah miskin tegar mengikut keperluan, terdiri daripada bantuan bersifat jangka masa pendek, sederhana dan panjang

Bantuan diberikan itu antaranya perumahan menerusi Rumah Mesra SMJ, bantuan pendidikan, padanan pekerjaan bersama syarikat berkepentingan kerajaan dan pemain industri, peningkatan pendapatan serta bantuan bulanan tunai kepada isi rumah tidak produktif iaitu mereka berumur melepasi umur persaraan.

Selain itu, kenyataan itu memaklumkan pelbagai bantuan daripada kerajaan Persekutuan dan negeri diberikan termasuk bantuan bulanan daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am berupa bantuan untuk kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya serta bantuan pendidikan dan usaha niaga.

“Bagaimanapun, disebabkan bilangan isi rumah yang ramai iaitu purata enam orang ke atas pendapatan yang diterima tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan makanan keluarga,” katanya.

Menurut kenyataan itu pada 23 Julai lepas, kerajaan negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sabah meluluskan peruntukan RM2.85 juta sebagai bantuan tambahan kepada 1,147 KIR yang masih kekal dalam status miskin tegar pada 20 Julai lepas.

Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022 miskin tegar bagi negeri itu ialah RM1,218 bagi isi rumah dan RM288 per kapita.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan