SUKAN

SUKAN PARALIMPIK: 'KECHIK' INTAI SEPARUH AKHIR

15/08/2024 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Pemain badminton para negara, Muhammad Ikhwan Ramli menyasarkan melayakkan diri ke separuh akhir perseorangan lelaki WH1 (kerusi roda) pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris.

Muhammad Ikhwan atau lebih mesra disapa 'Kechik’ menyifatkan sasaran berkenaan sebagai realistik memandangkan Paris 2024 merupakan penampilan sulungnya di temasya sukan berprestij itu.

"Saya agak gementar kerana ini pertama kali saya ke Sukan Paralimpik, sebelum ini memang agak bergelut nak kutip mata dengan perlu pergi kejohanan berturut-turut, namun alhamdulillah sasaran ke Paris 2024 tercapai.

"Saya tidak mahu beritahu sasaran sebenar sebaliknya fokus ke separuh akhir dahulu. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik dan bawa sesuatu untuk rakyat Malaysia nanti," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata peluang untuk merebut pingat juga sengit memandangkan perlu berdepan cabaran daripada pemain China, Korea Selatan dan Jepun.

Selain beraksi dalam kategori perseorangan lelaki WH1, pemain ranking ketiga dunia itu juga dijadual beraksi dalam beregu WH1-WH2 (kerusi roda) bersama gandingannya Noor Azwan Noorlan.

Noor Azwan yang turut bersaing dalam perseorangan lelaki WH2 berkata beliau lebih menumpukan aksi beregu lelaki WH1-WH2 pada aksi pertamanya di Sukan Paralimpik kali ini.

Beliau mengakui sedang membiasakan diri bersama Muhammad Ikhwan memandangkan mereka tidak memiliki rakan sepelatih yang cukup berbanding negara lain.

"Contohnya di Korea Selatan, mereka memang banyak beregu, namun kami hanya ada dua, kadang-kadang perlu panggil pemain luar serta pemain kategori lain untuk jadi rakan sepelatih kami namun tidak sama corak permainannya,” katanya.

Noor Azwan berkata mereka juga banyak melakukan analisis video gaya permainan beregu dari negara lain selain pengalaman bersaing dengan lawan dalam kejohanan disertai sebelum ini sedikit sebanyak meningkatkan kesefahaman antara satu sama lain di atas gelanggang.

Sukan Paralimpik Paris 2024 akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan