AM

HAJIJI INGATKAN PEGAWAI DAERAH JAGA INTEGRITI, MUDAHKAN URUSAN RAKYAT

15/08/2024 03:08 PM

TUARAN, 15 Ogos (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengingatkan semua Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah di negeri ini supaya menjaga integriti dan ketelusan serta memudahkan urusan rakyat di kawasan mereka.

Hajiji berkata beliau telah menerima banyak aduan daripada rakyat dan laporan tentang isu integriti serta ketelusan melibatkan Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah, termasuk ada antara mereka melengah-lengahkan urusan yang mempunyai kepentingan untuk rakyat.

Bukan memberikan amaran, sebaliknya beliau mahu setiap Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah memahami serta memberi perhatian serius tentang apa yang sepatutnya mereka lakukan dalam menjalankan amanah serta harapan rakyat.  

“Saya mempunyai maklumat terperinci dan khusus mengenai perkara ini kerana itu saya minta aspek ketelusan dan integriti ditingkatkan. Permudahkan urusan rakyat...kalau boleh selesai satu, dua hari jangan ambil masa satu, dua bulan selesaikan hingga beri impak kepada usaha kita bantu rakyat.

“Saya tidak berkompromi jika benar terbukti ada unsur sengaja mahu lengah-lengahkan projek untuk rakyat, atau cari kesempatan ambil keuntungan daripada projek. Saya akan ambil tindakan kepada Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah tidak laksana tugas diamanahkan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah ke-27 2024 di sini, yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim.

Hajiji berkata beliau turut menerima laporan bahawa terdapat Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah yang menyembunyikan maklumat daripada wakil rakyat di kawasan mereka antaranya tentang projek pembangunan, terutama melibatkan projek kecil untuk rakyat.

Ketua Menteri berkata adalah penting untuk Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah berkongsi maklumat dengan wakil rakyat supaya projek dan juga program membantu rakyat di kawasan terlibat dapat dilaksanakan dengan lancar serta berkesan.

“Ada saya terima aduan Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah tidak berikan kerjasama penuh kepada wakil rakyat dalam laksana projek negeri dan Persekutuan sehingga ada ditanya rakyat (perkembangan projek), tetapi wakil rakyat tidak tahu.

“Janganlah kerana kekurangan seperti ini wakil rakyat dipersalahkan kerana ini adalah ketidakcekapan pegawai. Laksanakan tugas dengan baik, banyak lagi yang perlu kita lakukan sekarang ini terutama usaha kita untuk selesaikan isu kemiskinan dan miskin tegar di Sabah ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan